Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Sunday 21 April 2013

Aku Sepasang Kasut - Episod 2

Penulis: Forskning BETA

Episod 1

Dua tiga menjak ini, heboh aku dengar kawan-kawan aku dalam gudang Zalora.com ini bercerita. Katanya sudah ada iklan parody Zalora tersebar di Youtube, mengejek iklan yang mainstream. Ala, iklan dengan lelaki Chinese look yang cakap dengan gaya frenzy tu. Tak ada TV kat rumah ke?

Paling tak tahan, kawan-kawan aku cakap, ada yang buat iklan Zalora versi Islamik.


Macam-macam kan? Dari sudut positif, aku kira semua ini akan melonjak populariti Zalora.com. Semakin popular Zalora, semakin cepat aku keluar dari neraka ini.

Apa pun, aku berharap sangat yang minggu ini adalah minggu terakhir aku terkurung di sini. Aku mengimpikan seorang tuan yang penyayang keibuan seperti Rozita Che Wan. Cantik remaja seperti Fazura. Kaya dan punya banyak wang macam Zahida Rafik.

"Tetapi, Rozita Che Wan, Fazura atau Zahida Rafik pakai ke kasut jenama Vincci?" soal hatiku bermonolog.

"Ah, itu semua tak penting. Ada apa pada nama? Aku yakin. Aku cantik, pasti ada yang mahu membeliku. Kalau bukan artis pun tak apa!!!! Aku hanya mahu keluar dari sini" hatiku terus berkata-kata.

Aku bukannya suka sangat tinggal di sini. Bau ubat gegat bersepah. Sesak nafasku di sini. Entah berapa banyak botol Thirsty Hippo di keliling aku. Udara kering sangat, kulit aku jadi kering. Aku rimas. Paling rimas aku dengan Vincci Sandal dan Vincci Wedges!

Tiba-tiba kotak aku dibuka. Cahaya terang yang aku nantikan sekian lama tiba-tiba menerkam masuk menerangi hatiku. Hati aku yang selama ini hampir mati menjadi berbunga-bunga. Ini merupakan satu pertanda yang amat baik. Nampaknya ada yang sudi membeli aku. Ini satu harapan.

Ada satu tangan yang berbulu menyelongkar kotak yang aku diami hampir 3 bulan ini. Vincci Sandal di angkatnya. Dibelek-beleknya. Aku dengar Vincci Sandal keriangan, terjerit-jerit. Gedik. Aku mencebik muka kepada Sandal. Tiba-tiba  satu tangan lagi mengangkat aku. Aku yang hampir-hampir putus asa tadi terus tersenyum.

Walaupun tersenyum, sebenarnya tidaklah semanis kurma.

Kenapa Vincci Heels saiz 10 yang diangkat? Neraka apakah bertuankan kaki saiz sepuluh?

"Ya Tuhan, aku harap tuan aku nanti bukan maknyah" getus hati kecilku.


bersambung...

Friday 19 April 2013

Secawan Latte Untuk Sarah #2


“Kenapa, Man?” Lisa bertanya. Aku sekadar mendongak. Wajah manis Lisa itu aku lihat penuh dengan tanda tanya.
“Tak. Tak ada apa-apa. Saya okay saja.”
“Betul ni? Kamu sakit ke?”
“ Tak. Saya ada apa-apa .” Tanpa berfikir panjang, aku menutup pintu ke alam maya dan terus meninggalkan dunia itu. Wallpaper bergambarkan aku dan Sarah yang sedang bermain piano yang diambil beberapa tahun yang lalu, seolah mengejek. Dengan perasaan marah aku mematikan laptop. Nanti saja aku gantikan wallpaperku. Laptop zaman sekarang sudah ada teknologi untuk mengejek pengguna agaknya.
Aku kembali menyandar sambil melihat pelanggan-pelangganku yang semakin bertambah. Jam sudah menghampiri jam 1. Lunch break. Kuraih mug, memegangnya dengan kedua belah tanganku. Menghirup aroma harum kopi olahan tersebut. Aroma kopi adalah antara aroma yang paling indah di dalam dunia selepas bau hujan turun. Aku dan Lisa berpandangan. Sunyi.
“Tiba-tiba saya rasa bodoh.” aku tertawa geli hati.
“Eh, kenapa awak cakap macam tu?” Lisa mengerutkan dahinya.
“Saya, menghilankan diri sejauh-jauhnya dari tempat lama dan ke sini, cuma ingin lari dari sesuatu yang…” aku menghentikan tuturku, menahan tawa, mentertawakan kebodohanku,”…. Sesuatu yang tidak mengejar aku…”
Lisa mengerutkan kening. Dia benar-benar tidak mengerti dengan tutur kata aku.
“Bingung ya, kamu?” tanyaku sambil tersenyum-senyum.
“Saya tak faham lah, Man.....” Lisa mengangguk sungguh-sungguh,”..ceritakan semuanya lah. Kalau awak tak kisah dan tak keberatan. Lagi pun orang bukan ada sangat ni..” Lisa ketawa kecil dan menarik kerusi menghampiriku.
“Begini, saya, lari hingga ke sini, larikan diri dari seseorang yang saya saya..... Yang saya cinta..” aku terdiam. Lisa menunggu aku menyambung cerita. Aku hirup lagi kopi di dalam mug.

"What? Seseorang yang aku cinta....?" bisik aku di dalam hati. Aku sendiri tertanya-tanya kenapa aku jawab begitu. Benarkah apa yang aku rasakan ini cinta?

"Kenapa awak lari dari dia? Dia tu yang buat awak menung lihat skrin tadi ke?" Lisa bersungguh-sungguh menanya.
"Sarah. Nama dia Sarah. Dia pernah ada dalam hidup saya. Cinta saya. Tapi, lepas tu dia pergi tanpa pesan atau ucapan untuk saya." Aku hirup lagi kopi yang hampir sejuk itu.
"Lalu, kenapa awak kata awak lari daripada dia?" Lisa sudah mulai bingung.
"Saya tidak pasti adakah saya lari daripada dia, atau sedang lari kepada dia." sekarang aku benar-benar rasa kelakar bila mengingat semula alasan awal perjalananku ke tempat ini.

Lisa hanya tersenyum simpul. Dia terdengar bunyi loceng dari pintu masuk kedai.

"Nanti kita sambung ya, Man. Ada pelanggan tu." Lisa menolak kerusi ke tempat asalnya semula.
"Baiklah." Aku lemparkan senyuman kepada Lisa. Lisa asyik melayan pelanggan. Kasihan juga aku lihat dia seorang diri melayan pelanggan yang datang hari ini. Sasha cuti hari ini. Katanya kucingnya nak beranak. Aku ya kan saja alasannya itu. Lagi pun Sasha tu rajin orangnya dan jarang minta cuti.

Aku teringat semula isi kandungan e-mel yang dihantar oleh Sarah tadi. Katanya dia dapat e-mel aku daripada Aina. Jujur aku katakan, memang aku juga hendak berjumpa dengan Sarah semula. Tapi, separuh daripada aku kata tak perlu. Ia hanya menambah sakit yang sedia ada. Separuh lagi mengatakan yang mungkin jika aku berjumpa dengan Sarah semula, ia mampu menjadi ubat dan sembuhkan luka 2 tahun lalu.

Sarah. Oh tentunya. Aku dengan jelas dapat ‘merasakan’ dirinya dalam bayanganku, betapa bahagianya aku jika benar-benar bertemu dengannya, menghidu bau minyak wangi kegemarannya, berbual-bual tentang persekitaran dengannya, bernyanyi bersamanya ketika duduk di tepi tasik setiap petang (Apa kah ini maknanya aku rindukan dia jika aku mampu ingat setiap perkara yang pernah kami lakukan bersama dulu?), menangis bersama-sama ketika menonton The Notebook (ia memang sebuah filem yang bagus dan antara filem kegemaranku), berjalan di dalam hujan ketika balik dari tasik, masuk ke dalam kedai muzik dan mencuba semua alat muzik yang ada di sana, berkejaran di dalam IKEA sambil membayangkan yang itu adalah rumah kami. Di antara semua itu, aku tidak akan tertinggal untuk mencium dahinya setiap kali aku menghantarnya sebelum dia masuk ke dalam rumah. Semua tergambar dengan jelas, seperti nyata dalam benakku.
Tunggu sebentar.
Adakah aku sudah letih berlari daripada Sarah? Atau aku hanya ingin mengulang kebahagiaan yang pernah terjadi dan hidup bersamanya semula?
Oops.
Aku terdiam, melihat Lisa yang sedang menyediakan kopi untuk pelanggan.

Wednesday 17 April 2013

Terbang

Fiona berdiri sipi di tubir pangsapuri. Menunggu kehadiran anak-anak kecil, yang bakal turun dari langit; Anak-anak kecilku, Levina, Addy dan Kyeden. Ibu menanti di sini. Seperti yang kita janji. Sesekali, Fiona mengepak sayap putih bertatahkan baldunya. Mengibas angin yang sejak tadi menyapa wajah. Dingin malam ini bakal menjadi saksi, pertemuan kembali anak beranak itu; Pertemuan kembali ini adalah kisah masa depan kita. Kisah yang lebih gembira. Kisah yang menghalau segala duka kita, suatu masa dulu.

24 jam sebelum itu.

Anak-anak kecil itu, lena bertempiar di atas katil bersaiz raja. Selimut tebal menjadi pelindung dari kesejukan. Sesekali, Fiona mengerling kilas ke arah anak-anak kecil itu. Terbit rasa sayang yang amat. Tidak berbelah bagi. Tidak sanggup meninggalkan. Apatah lagi ditinggalkan. Lantas, airmata seorang ibu berjuraian. Tanda sesal. Dan sedih yang tiada kesudahan.

Skrin komputer yang terang menyala itu, ditenung dalam. Sambil jari-jemari ligat menaip kata-kata dan ungkapan;

Selamat tinggal realiti. Di sini, kami tidak diperlukan lagi. Sakit. Pedih. Perit. Tiada siapa mahu peduli. Selamat datang cinta abadi. Di sini, kami akan diketemukan kembali. Kembali menyemai benih cinta. Bersatu dan bahagia, buat selama-lamanya.

Fiona tidak menunggu lama. Komputer itu ditinggalkan. Dia tuju ke pintu gelongsor, dan biarkan ia terbuka luas. Fiona kembali pada anak-anak kecil. Mula-mula, yang pertama. Dia kendong hingga ke beranda rumah. Dan campak anak itu jatuh ke bawah; Duk! Duk! Bummmm! Dan kedua, pun yang sama. Hingga yang ketiga. Masih kecil. Masih belum puas kenyang susu. Fiona jatuhkan, hingga terhempas hancur menyembah bumi. Dia habiskan kesemua nyawa. Dan yang tinggal kini, cuma dia. Dan bayi di dalam kandungannya.

“Bapa kamu sudah tidak menghargai kewujudan kita. Dia tinggalkan ibu. Dia tinggalkan kamu. Dia tinggalkan kita. Apalagi yang kita ada?"

Serta-merta, Fiona melompat terjun dari beranda tingkat 17. Dan dia juga, seperti anak-anak kecil tadi. Hancur berderai. Persis hati yang ditinggalkan.

*****

Fiona mengukir senyum. Dari jauh, kelihatan anak-anak kecil berterbangan dengan sayap putih baldu. Dengan wajah kernyih. Sambil menjerit kecil; Ibu! Ibu! Ibu!

“Ya, sayang! Ibu di sini. Seperti yang dijanji. Menunggu kamu, wahai anak-anak syurga,”

Tuesday 16 April 2013

Semuanya kerana jodoh


Qalisya diam seribu bahasa. Sakit hati terpendam sekian lama ingin saja dia luahkan kini. Dia penat diperkotak-katikkan perasaannya. Cukup dia dipermainkan oleh lelaki yang tak tahu menghargai perasaan sayang yang tercipta hanya untuk dia.

“Awak, kenapa diam?” Fitri memecah sunyi.
“Nothing, okeylah nak pergi tidur dah. Mengantuk…” Moodnya benar-benar merudum. Jiwanya seperti mahu lari jauh dari kenyataan yang menyakitkan. Kenyataan yang dia cintakan orang yang salah. Dia cintakan orang yang tak patut dicintai. Dia lupa cinta itu memang benar-benar bukan untuknya. Fitri tak pernah cuba berusaha untuk memahami isi hati yang dia cuba tunjukkan.
“Aik cepatnya. Tadi bukan main kata free. Saya rindu nak borak dengan Isya…” Suaranya begitu menggoda. Sekali lagi dengusan kedengaran. Dia letih. Letih bermain teka-teki tentang cinta dan perasaan.
“Fitri… kita borak lain kali je. Saya betul-betul letih ni…” Qalisya sedih.
“Isya… hurm takpelah. Lain kita borak lagi. Promise!” Fitri sengaja melunakkan suaranya. Qalisya makin lemas dengan permainan cinta yang Fitri mainkan. Seperti dia tercampak dalam lautan bunga mawar. Wangi tapi durinya bisa melukakan.
“Fitri, jangan lebih-lebih. Dahlah, nite…” Dia terus mematikan talian. Tak betah lagi dipermainkan begitu. Jiwanya tergoda, tergoda dan tergoda. Makin lama, makin dalam perasaan yang tertanam di hatinya. Hanya Fitri yang tak tahu hakikat sebenarnya.

Qalisya tahu dia tak patut jatuh cinta dengan sahabat sendiri. Tapi, cinta dan perasaan tak mampu dia kawal. Semuanya luar kawalan. Dia terbiasa dengan kehadiran Fitri. Dia rasa Fitri pelengkap hidupnya yang seringkali sunyi. Kehidupan sebagai anak tunggal sememangnya tak indah seperti yang dikhabarkan. Dia menangis dalam sendu lagi malam itu. Hanya bulan dan bintang menyaksi hati yang sudah dipatri tapi sedang meratapi kelukaan yang terdalam.

Xxxxx

“Mak ada benda nak cakap ni…” Qalisya berpaling. Dia malas sebenarnya untuk memikirkan apa yang maknya sampaikan minggu lepas. Pasal kahwin. Hal itu sentiasa menghantuinya. Malah menghantui semua gadis yang sudah melepasi waktu umur sesuai berkahwin.
“Pasal kahwin ke mak? Kan orang kata tak mahu lagi…” Awal lagi dia menolak.
“Bukanlah… mak tahu kamu tak mahu kahwin lagi, mak tak nak paksa. Tapi ini pasal kawan kamu tu…” Suara Puan Fatimah agak serius. Qalisya seakan berminat.
“Kenapa? Kawan yang mana mak?” Puan Fatimah mengeluh. Seketika dia berpaling ke arah lain. Air mata mengalir. Qalisya kaget.
“Mak kenapa ni? Ish..” Segera dia memeluk tubuh tua itu. Ditenangkan hati wanita itu. Walaupun hatinya memberontak ingin tahu tentang hal yang membuatkan emaknya sedih. Puan Fatimah melampiaskan rasa. Dia perlu menyakinkan anaknya dengan hal yang akan anaknya tahu. Dia tahu, Qalisya akan mencari Fitri selepas ini. Rencananya harus berjalan lancar. Dia tak mahu gagal kali ini.
“Mak… okey?” Tanya Qalisya prihatin.
“Mak tak tahu nak mula macam mana. Tapi, mak nak Isya tahu, Fitri bukan orang yang baik. mak tak mahu anak mak berkawan dengan lelaki macam tu!” Tegas bunyinya.
“Tapi kenapa?”
“Isya kalau sayang mak. Dengar cakap mak… titik!” Qalisya terdiam. Dia makin tidak faham tentang perkara yang baru terjadi. Emaknya sedih kemudian marah. Apa yang Fitri telah lakukan? Dia pening memikirkan. Segera tudung dicapai. Beg disangkut. Dia mesti cari tahu apa masalahnya. Dia perlu!
“Mak, orang keluar dulu…” Jeritan Puan Fatimah menghalangnya keluar tak lagi dia mampu dengar. Dia menghidupkan enjin segera. Fitri harus ditemui.

Xxxxx

Jauh disudut hatinya ingin sekali menjemput Fitri ke rumahnya. Ke majlisnya. Tetapi hati emak perlu dijaga. Majlis perkahwinan masih meriah. Dia sudah penat. Penat dengan topeng yang dipakai. Make up. Baju cantik. Berlian dikepala. Semuanya bukan dia. Semuanya palsu. Termasuklah senyuman yang terpalit di wajahnya. Wajah suami dipandang kosong. Kaya. Muka boleh tahan. Tapi sayang, hati dia dan Qalisya tak ada cinta. Yang ada cuma kepura-puraan.

“Buat apa kat sini, kawan I datang tu…” Lengan Qalisya ditarik kuat. Dia tahu kalau tak berkeras, Qalisya takkan berganjak. Tegak macam patung cendana.
“Jangan tarik-tarik boleh? Sakitlah!!” Protes Qalisya perlahan. Bimbang para tamu mendengar omelannya.
“Diamlah. Senyum…” Itu saja yang dia dengar. Tiada kelembutan bila berbicara. Sekali lagi Qalisya merindukan Fitri. Mulutnya manis. Selalu bercakap lembut. Adakala suaranya benar-benar menggoda. Dia tahu dai tak patut merindukan lelaki lain. Dia punya suami. Kini dia sudah menjadi isteri orang yang tak dia cintai. Berdosanya dia!
“Hai Melinda, this is my beautiful wife, Qalisya…” Senyuman itu nampak benar-benar ikhlas. Qalisya terpana. Akhirnya, lelaki itu senyum.
“Hai, Qalisya… tak sangka, tangkap muat pun cantik orangnya. Pandai you pilih Ezad…” Suaranya sungguh menjengkelkan. Qalisya bengang. Salam dihulur, tetap dia sambut. Tapi cengkamannya sengaja dikuatkan. Terjerit Melinda.
“Are you okay Mel?” Ezad senyum dan pandang ke arah Qalisya.
“Okay, I nak nak jamah nasi minyak you all. Bila lagi nak merasa kan? Ezad, kahwin hanya sekali kan?” Melinda berlalu dengan gelak gediknya.
“Thanks…” Ezad memandang Qalisya penuh rasa. Entah kenapa dadanya berombak mendengar kata-kata lelaki bergelar suami itu.
“What for?” Keningnya terangkat.
“Buat Melinda macam tu. Serius, I ingat you ni kayu. Ternyata you ni menarik juga orangnya…” Hidung Qalisya dicuit selamba dan lelaki itu bergerak ke meja tamu yang lain. Ditinggalkan Qalisya yang sedang menahan malu. Senyuman terukir di wajah pengantin lelaki. Dan drama sebabak bukan saja diperhatikan oleh Melinda, malah Fitri juga. Dari kejauhan dia memandang dan mendoakan kebahagiaan Qalisya, sahabat baiknya.

“Isya, maaf saya terpaksa buat begini. Mak awak sangat berkuasa. Saya tak boleh terus di sisi awak. Awak lebih bahagia dengan Ezad. Dia lagi berkuasa dan mampu melawan sikap mak awak…”
Air matanya menitis. Fitri berlalu. Kenangan berjumpa dengan Puan Fatimah jelas tergambar di ingatannya kini. Keras amaran wanita tua itu.

“Nama kau Fitri?” Puan Fatimah terus duduk di kerusi apabila lelaki itu mengangguk.
“Macam nilah Fitri, aku terus terang cakap aku tak berkenan dengan kau. Kau miskin. Harap rupa je, memang anak aku takkan bahagia. Aku bagi dua jalan untuk kau. Satu tinggalkan Qalisya dengan rela hati dan satu lagi tinggalkan Qalisya dengan bantuan aku… mana kau pilih?” Fitri terasa dijerut.

Adakah ini pilihan? Adakah ini pengakhiran kasih sayang dan persahabatan? Dia tahu dia tidak sesuai untuk Qalisya dan dia juga bukanlah lelaki yang kejam untuk membawa Qalisya ke lembah cinta yang belum mampu menjanjikan apa-apa kebahagiaan dan kesenangan. Tapi ini sungguh kejam.
“Puan, kenapa puan menentukan hidup anak puan? Tak boleh ke biarkan Qalisya memilih jalan hidup sendiri? Saya mengaku saya kawan dengan Isya, tapi tak bermakna saya nak kahwin dengan dia. Saya sedar taraf saya di tahap mana… tapi tindakan puan ni…”
“Kau siapa nak komen pasal aku punya tindakan? Dengar sini, kau tak layak untuk anak aku. ingat, aku akan buat sesuatu yang kau tak mampu bantah. Kau ingat, Isya takkan sesekali berpaling ke arah kau selepas ini. Bersedialah!” Kata-kata itu sudahpun membunuh hati Fitri. Dia terdiam. Kelibat wanita itu dia perhatikan. Air mata jatuh. Sakitnya penghinaan yang dilemparkan ke arahnya. Sungguh!

Xxxxx

“Sayang, jalan baik-baik. sakit anak kita nanti…” Suara lelaki itu benar-benar risau. Fitri tersenyum. Dia hanya memerhatikan gelagat bakal ibu bapa itu. Dia mungkin takkan berpeluang merasai kegembiraan seperti pasangan itu. Tiada siapa mahukannya. Dia pun telah menutup pintu hati untuk perempuan. Cukuplah cinta dan sayangnya pada Qalisya seorang.

“Isya, kan abang dah cakap jangan lompat…” Si isteri ketawa. Dan sekali lagi Fitri berpaling. Qalisya!
“Alah, abang risau sangat… baby pun nak mamanya aktif. Baru sihat…” Manja sungguh bunyinya. Fitri segera bangun dari duduknya. Dia tak mahu dengar perbualan mereka. Sakitnya hati. Dia tak mahu terluka dengan melihat Qalisya bahagia.
“Fitri…” Dia tergamam. Tak mampu dia mengelak lagi.
“Hai,” Itu saja yang mampu dia luahkan. Serba salah.
“Awak buat apa kat sini?” Qalisya menegur macam biasa. Dia rindu dengan sahabatnya. Setahun sudah dia tak bertemu Fitri.
“Hai sayang. Tak nak kenalkan dia kat abang?” Ezad cemburu.
“Oh, ini BFF saya. Tapi itulah, masing-masing busy. Tak sangka jumpa kat sini kan Fitri?” Qalisya cuba menyembunyikan rahsia. Dia tahu kenapa Fitri jauhkan diri. Dia juga tahu Fitri terpaksa demi emaknya. Dan dia rasa bersalah dengan lelaki itu. Dia bahagia dengan Ezad. Tak mungkin dia kembali kepada Fitri setelah tahu hakikat drama yang maknya rencanakan.
“Oh, bro. rasanya tak pernah jumpa pun. Tak datang eh masa kitorang punya kenduri?” Ezad cuba beramah. Dia tak perlu cemburu. Dia sudah punya benih yang sedang membesar dalam perut isteri kesayangannya. Dia cukup bahagia dan yakin hati Qalisya hanya untuknya.
“Sorry, saya fly ke sabah masa tu. Isya, sorry. Nanti baby lahir, saya janji akan kasi hadiah… besar punya…” Fitri cuba menunjukkan betapa besar hadiah yang akan dia beri. Ketiganya ketawa. Fitri bahagia melihat Qalisya bahagia. 

Ternyata itu bukan jodohnya. Walaupun cinta yang tertanam dalam hati keduanya sebelum ini kuat, jodoh tetap penentunya. Fitri redha. Qalisya juga. Dalam hatinya mendoakan kebahagiaan sahabat baiknya. Tangannya terasa disentuh. Ezad dipandang dan diukirkan senyuman paling manis untuk suaminya. Dia bahagia. Itu saja yang dia tahu. Kenangan lalu telah dipadamkan. Dia harus padam. Yang penting hanyalah kenangan yang akan dicipta di masa akan datang.

Monday 15 April 2013

janji yang pergi





Pertemuan di antara Marissa dan Ilham dibiarkan terkunci secara rahsia. Dia tidak mahu pertemuan yang menyeronokkan itu diketahui oleh Ros, Maknya. Kalau Maknya tahu yang dia bercakap dengan orang asing, pasti hanya bebelan yang akan singgah di telinganya. Dia tidak mahu begitu. Jadi Marissa hanya berdiam bila masuk ke dalam kereta. Ada senyum yang masih tercalit dibibirnya. Dia cukup seronok hari itu walaupun keseronokkan itu hanya sedetik Cuma. Janji hatinya gembira, gembira kerana bertemu kawan baru.

“Kita pulang, “ kata Ros. Enjin kereta dihidupkan semula. Marissa hanya menggangguk dan masih berbaki senyum.


bersambung...

Sunday 14 April 2013

Aku Sepasang Kasut - Episod 1

Penulis: Forskning BETA 

Nama aku Vincci. Tapi aku tengok kawan-kawan aku yang lain pun nama Vincci juga. Tapi kawan aku yang seorang tu macam gedabak sikit, orang panggil dia wedges. Yang seorang lagi kerempeng pula, dia mengaku nama dia sandal. Dua-dua tak cantik.

Aku lain. Aku sexy. Aku ada cutting yang terbaik. Dan paling penting, nasib pemakai aku bergantung pada sebatang kayu 5 inchi yang menjongket tumit. Batang kayu ini walau kurus dan runcing, tujuannya hanyalah satu, memupuk perasaanvain dikalangan pemakai.

Bayangkan, aku mampu membuat pemakai aku yang rendang kelihatan sedikit tinggi. Bontot leper kelihatan terjongket di sebalik kain sarong atau celana ketat pemilikku. Jadi, sesiapa yang memiliki hanyalah dari golongan yang bercita rasa tinggi.

Dalam gudang Zalora ini, aku tak bercampur sangat dengan kasut-kasut yang lain. Bukan apa, aku tak ngam sangat dengan yang lain atas satu sebab - diorang tak seksi, dan suka mengumpat aku. Macam makcik-makcik.

Pernah satu hari, aku tercuri dengar Vincci Sandal bercakap dengan Vincci Wedges.

"Kau tahu Wedges, Vincci Heels tu nama aja macam Beverly Hills, konon cantik dan sexy" kata Vincci Sandal memulakan rutin umpatan.

"Eh, apa cer...apa cer nih?" tanya Vinci Wedges.

"Ala, dia tu nampak aja cantik, kalau orang beli, bukan nak pakai sangat, habis kuat pun tersadai dalam kereta aja. Tuan masuk opis, dia kepanasan dalam kereta" umpat Vincci Sandal lagi.

Aku pasrah aja. Bagi aku, biasalah. Orang cantik, selalu dicemburui.

Hari-hari aku berdoa cepat-cepat diriku ini bertukar pemilikan.

Aku mahu keluar dari neraka Zalora ini!

bersambung...

Tuesday 9 April 2013

Mendung Berarak Pergi

Aku terkaku di situ. Aku bagai dipukau, wajah insan yang selama ini aku rindu betul-betul di hadapan muka ku. Bagai terlihat kelibat hantu aku tak mampu berkata-kata. Hanya linangan air mata yang bergenang tatkala cuba mengawal perasaan yang bercampur baur saat ini.

"Alisha? " Lukman Hakim bagai tak percaya aku insan yang pernah dipuja suatu ketika dulu benar-benar berdiri dihadapannya.

"Ye Aku Alisha"aku menjawab lemah sambil cuba berdiri semula. Buku nota dan fail yang berteraburan di atas jalan raya aku pandang sepi. Dia cuba membantu aku bangun pantas saja aku menepis tangannya. Aku tak mahu lemah akibat sentuhannya nanti. Aku tak mahu perasaan yang mula menghilang akan subur semula akibat peristiwa ini.

"Alisha, I minta maaf, tergesa-gesa nak pergi meeting sampai tak perasan Alisha melintas jalan. Harap tiada yang luka teruk." Lukman cuba membelek tanganku yang mula bermandi darah. Terasa pedih dan mataku berpinar mula nak pitam. Bukan nak pitam kerana tak tahan sakit tetapi aku memang mabuk darah. Walau luka kecil aku akan pitam sebab ternampak darah.

Terasa mukaku basah...fuhh lega dah tersedar. Seorang kakak membasahkan muka ku untuk menyedarkan aku dari pengsan."Lukman, awak masih ada lagi di sini?" aku terkejut melihat Lukman berdiri di sebelahku. Aku ingatkan selepas dia menghantar aku ke klinik dia akan terus pergi memandangkan dia memburu masa untuk pergi mesyuarat. 

"Takkan I nak tinggalkan awak dalam keadaan begini Alisha?" aku hanya menggangguk dan membelek kaki dan lenganku yang telah siap berbalut. Cuma luka kecil saja, syukurlah. Aku mengucap syukur di dalam hati. 

"Sekali lagi I minta kerana menyebabkan u jadi begini Alisha."Lukman masih merasa bersalah, aku hanya mendiamkan diri. Bukan tak mampu memaafkan tetapi tak tau nak berkata apa. Kehadirannya secara tiba-tiba menyebabkan luka di hatiku lebih parah dari luka yang ada ini.

**************

"Alisha, ada orang nak jumpa kau."Sue memanggilku sambil terus melangkah masuk ke kamarnya. Mungkin memberi ruang aku bertemu tetamu yang datang atau mungkin tidak mahu anmbil tahu atas urusan diriku.

Segera aku menjenguk melalui tingkap. Lukman? aduh! apa lagi yang dia mahukan dariku? Segera aku sarung tudung dan keluar menemui Lukman. Lebih cepat bertemu lebih cepat dia pulang. Tak manis jika jiran nampak lelaki bersidai di depan pagar rumahku malam-malam begini.

"Assalamualaikum, ada apa ye datang malam-malam begini ke sini?" aku bertanya. Terasa tak selesa menerima kunjungan Lukman secara mengejut waktu malam begini.

"I ada perkara penting nak bincang dengan u, pasal kita. I tak mahu bertangguh lagi. Dah 8 bulan i cari u Alisha. Sekarang i dah jumpa pun u. I perlu jelaskan perkara yang you tak tahu. 

"Erm? perkara apa yang aku perlu tahu lagi. Rasanya dah jelas yang kau dah ada insan istimewa selain aku. Aku ni hanya mengganggu hubungan kau dan dia saja. Aku perampas hak orang, apa lagi penghinaan yang aku petut dapat dari menyayangi kau dulu Lukman?" semuanya aku lepaskan, tak mampu lagi aku menahan seksa pedih akibat perpisahan itu. 

Sedang kami asyik merancang majlis pertunangan kami yang hampir berlangsung tak sangka ia menjadi tragedi apabila seorang gadis cantik mengaku dirinya adalah tunangan Lukman dan aku telah memporak perandakan hubungan mereka. Katanya telah lama keluarga menjodohkan mereka dan kehadiranku amat-amat menghiris hatinya.Sebagai seorang wanita pasti aku sangat malu dengan diri sendiri yang sanggup merampas dan mengguris perasaan insan sejantina denganku. Aku melarikan diri setelah melihat semua gambar percutian Lukman bersama wanita tersebut yang aku temui di dalam peti suratku dua hari selepas wanita itu bersemuka denganku.


"I tak suka berbual depan gate macam ni, tak manis jiran nampak." aku mendengus kasar."Okey, jom keluar minum dan i akan jelaskan apa yang u masih kabur Alisha please ...bagi I jelaskan perkara sebenar." Lukman merayu. Nampak keihklasan di wajahnya. aku akhirnya bersetuju mendengar apa yang ingin Lukman jelaskan.

Setelah memesan minuman Lukman menerangkan satu persatu, aku bertanya dan dia menjawab segala kemusykilan di hatiku. Segala apa yang wanita tersebut katakan aku ulang kembali dan Lukman menjelaskan sedalam-dalamnya. Lukman sangat kesal kerana aku tidak pernah meminta sebarang penjelasan darinya sebelum pergi begitu sahaja. Puas mencari di kampung dan merata tempat masih tidak menemui aku. Kemalangan tempoh hari ada hikmahnya. Tak sangka keputusan yang aku ambil adalah satu kekejaman buat diriku sendiri dan Lukman sendiri. 

Patutlah mama Lukman pun sama cuba menghubungi aku beberapa kali tetapi aku sengaja tidak menjawab panggilan tersebut. Fikirku mungkin mamanya ingin memarahiku kerana mengganggu hubungan Lukman dan wanita tersebut. 

Alhamdulillah semuanya telah terjawab. Aku salah sangka dan memang sepupu Lukman berniat ingin menghancrukan hubungan kami kerana dia menaruh perasaan terhadap Lukman sejak zaman persekolahan lagi.

Mendung berlalu pergi, akhirnya dia yang aku rindu berada di depan mata, hanya Allah yang tahu betapa bahagianya aku di saat ini. Kehancuran yang aku rasai selama ini lesap sekelip mata. Lukman di depan mataku, Lukman di hatiku...Lukman bakal beraja di hatiku selamanya, Insya Allah...

TAMAT.

Sunday 7 April 2013

Ombak Kasih - Episod 3


Episod 3

Hari ini sungguh bahagia bagi  Madhiah.Awal-awal pagi lagi sudah bangun.Ringtone Thriller sudah mengokok seawal 5.30 pagi.Seusai solat subuh lagi Madhiah sudah membuka laptopnya.Mencari-mencari sesuatu di laman sesawang myresipi.com.Orang perempuan sekarang mudah sangat nak memasak.Kalau dulu resepi turun temurun dari nenek moyang tapi sekarang resepi turun temurun di internet saja.Belambak gila.Cuma bezanya mungkin rahsia kesedapan dan rasa itu berlainan.Tapi kalau dah malas nak cuba memang payah.Bukan apa,nak mula buat itu yang payah sangat,kalau dah mula,tiada masalah.

Kek Batik menjadi pilihannya kali ini.

Lama benar rasanya sudah tidak mencemar duli di ruangan dapur dan ketuhar.Kekok sedikit.Biskut Marie,Butter,gula,telur,serbuk koko semua sudah sedia tersusun atas meja.Nasib baik ada lebih barang-barang nak buat kek lepas pembantu rumah mereka,Mak Su buat Kek Batik juga minggu lepas.Itu yang Madhiah teringat nak buat Kek Batik.Degil tak mahu tanya resepi Mak Su,nak cari sendiri.Sekarang masanya untuk lady chef ini mulakan.Walaupun nampak  luaran kek batik macam susah nak dibuat tetapi sebenarnya mudah kalau nekad!

‘Wah rajin betul anak mummy hari ini…’ Mummy yang perasan awal-awal pagi lagi Madhiah buat riuh di dapur.

‘Saja Madhiah cuba buat Kek Batik versi Madhiah..Ini kan makanan kegemaran Madhiah!’ sambil tersenyum manja pada mummynya.

“Ini mesti ada sesuatu istimewa ini..masakan tidak Madhiah sanggup bangun awal-awal pagi buat kecoh di dapur ni..’ usik Mummy.

‘Teringin nak cuba sendiri ..nak bagi kepada kawan Madhiah nanti..’ tersenyum Madhiah.
‘Kawan biasa ke special…usik Mummy lagi.

Ada-ada saja Mummy ni..ni kawan biasa ja..hehe..

Cuba Mummy rasa kek ni..Madhiah mengeluarkan dari peti sejuk kek batiknya.

“Hurmm…sedapnya…pekat hitam coklatnya dan biskutnya .. confirm kawan biasa Madhiah itu akan jatuh hati ..” sengaja Mummy puji anak sulungnya ini.

Ishh..mummy ni..

Ganis manis dua puluh tiga tahun itu tersenyum simpul. Sungguh,comel betul lesung pipit Madhiah bila senyum.

Sengaja Madhiah mengenakan tudung shawl.Ini hadiah mummy sewaktu hari lahirnya yang lepas.Dah lama tudung ini jadi deco dalam almarinya.Sekarang masa untuk merasmikannya.Ini pertama kali Madhiah memakai tudung shawl.Pakai tudung shawl tak delah susah sangat.Itupun nasib baik Syima,rakan baik Madhiah tolong buat tutorial depan dia.Shima pemakai tegar tudung shawl.
Di Universiti Madhiah mengenakan tudung sewaktu kuliah saja..Luar waktu kuliah dia free hair.Macam hipokrit pun ada.Cuma dia masih belum ada kekuatan mahu constant pakai tudung.Entah bila hidayah mahu menyapanya.

Anak puteri datang membawa kek
Santapan istimewa untuk si anak raja.


Tepat jam 10 pagi. Madhiah sudah bersiap sedia untuk berangkat.Sekali lagi kampung Kuala Ibai menjadi sasarannya.Kali ini membawa niat berbeza.Mahu berkenalan lanjut lagi dengan Syahid.Tapi di rumahnya.

Kehadiran Madhiah disambut baik Mak Khadijah yang sedang menjemur pakaian di ampaian.Mak Khadijah suka basuh baju guna tangan.Bukan tak ada mesin basuh di rumahnya, tapi tak puas bila basuh baju guna mesin.Agaknya takut kekotoran hitam dibahagian leher baju tak tertanggal kot.Betul juga.Mesin basuh tak mampu cover semua kotoran di baju tapi kalau berus guna tangan gonyohla sepuas hati.Lagi-lagi Mak Khadijah boleh exercisetangan bila basuh baju.Biasanya berus,sabun dan softlan menjadi senjata utama Mak Khadijah.

‘ Syahid ada kat rumah tak mak cik?..’ soal Madhiah.

‘Syahid ada…kejap mak cik panggilkan dia.. balas Mak Khadijah dengan senyuman mesra..’

Mak Khadijah perasan sangat Madhiah bila dia datang ke rumahnya walaupun sekali saja pernah datang.Masakan tak perasan.Lesung pipit iras Heliza Helmi,ikon muslimah kebanggaan negeri Terengganu.Dia memang suka penampilan personaliti anak muda ni.Kalau boleh buat menantu setuju sangat.

‘Ni.saya ada buat kek batik sikit..nak bagi pada mak cik dan Syahid..ambillah..’ Madhiah menghulurkan kek  tadi dengan senyuman manis.

‘ Alhamdulillah siap ada buah tangan lagi…’
Syahid perasan suara Madhiah..agaknya apa pula hajatnya datang ke mari..hurmm.
Dia menukar  pakaian yang sesuai.Biasanya pagi-pagi ni Syahid suka memakai kain pelikat dengan baju-T. Dah terbiasa sejak duduk di asrama lagi.

Ingatkan siapa tadi.Rupanya cik Madhiah .. Syahid cuba berdalih meneka.Terima kasih bawakan buah tangan ke sini .. ujar Syahid sambil merapati ke kerusi ruang tamu.

Ada apa-apa yang saya boleh bantu cik Madhiah? Syahid cuba mengorek segera kehendak Madhiah datang ke rumahnya .. 

Saya memang suka makan kek ni ..  kebetulan nak singgah rumah kawan dekat area-area sini..alang-alang  ziarah sekali.Syahid, saya nak ajak awak keluar makan tengah hari nanti .. itupun kalau awak sudi la.. pinta Madhiah sambil tersenyum malu.Malu tapi mahu.

Gulp .. terkejut Syahid  .. tak diduga ajakan sebegitu rupa . Madhiah berterus terang .Dia dah biasa dengan pelawaan sebegitu .Baginya tiada salahnya makan berdua-duaan di tempat awam.

Err ..  maaf tengah hari ini saya ada kerja sket ..  Syahid cuba mengelak. . memberi alasan yang tidak jelas.

Owh .. tak dapat la  saya nak keluar makan dengan ‘hero’ yang selamatkan saya ni .. nada kecewa Madhiah.

Pandai betul dia kipas aku .. bisik hati Syahid .Tenang wahai hati.

Ermm  .. tak mengapa .. tak ada rezeki .. cuma .. boleh tak saya dapatkan nombor telefon awak ?

Gulp  …  Syahid menelan air liur buat kali kedua .. Tidak diduga sungguh soalan-soalan Madhiah.
Mak Cik Khadijah yang dari tadi sedar kerancakan perbualan dua anak muda itu datang ke ruang tamu membawa secangkir teh  dan sepinggan kuih gulung.Ada yang menggelar kuih ketayap di tempat lain. 

Syahid sempat mengerling ke arah wajah ibunya.Sempat ibunya membalas dengan senyuman.
Tanpa mengecewakan Madhiah , Syahid memberitahu nombor  telefon dia.

Usai menjamah hidangan disediakan. Madhiah segera memohon  diri untuk beredar.Sejurus mengucapkan terima kasih dan memberi salam,dia keluar .Tersenyum lebar.Satu kejayaan besar Madhiah bila mendapat nombor telefon jejaka idaman.

Serba salah Syahid.Bukan apa.Ini kali pertama seorang perempuan meminta nombor telefonnya dihadapannya tanpa rasa malu.Siap ibunya dengar sekali.Mungkin dia nak hubungi untuk urusan penting kot.Syahid cuba positifkan fikiran.

Kuala Terengganu makin sibuk,makin membangun.

Itu ulasan pertama Syahid sebaik sahaja kereta Proton Wira pusaka arwah abahnya meninggalkan Kuala Ibai.

“Dah naik taraf Majlis Bandaraya pun,” ujar Mak Cik Khadijah yang berada di sebelah Syahid.
“Dah tentu makin sesak ,” tambah Syahid yang terpaksa memandu berhati-hati.
Lagi-lagi waktu tengah hari ini . Waktu rehat pekerja.Kedai-kedai makan di warung pastinya mendapat sambutan.

Mak Cik Khadijah sengaja mengajak Syahid keluar ke Bandar Kuala Terengganu untuk ke Klinik Adam.Sejak ada arwah suaminya lagi Mak Cik Khadijah setia datang ke klinik ini.Sakit-sakit kecil yang berlarutan akan dirujuk ke klinik ini.Doktor Adam pun dah kenal sangat dengan keluarga Mak Cik Khadijah.Dapatlah sikit harga istimewa untuk kos perubatan.

Seperkara yang Syahid belajar dari ibunya.Solat 2 rakaat sebelum ke klinik.Kagum.Meminta kepada Allah dahulu sebelum berjumpa doktor.

Syahid berhenti di persimpangan jalan.Lampu merah beralih dari  lampu isyarat kuning.Kelihatan beberapa pejalan kaki melintas menggunakan laluan yang disediakan.

Orang sekarang ni pakai macam tak cukup kain.. ekor mata Mak Cik Khadijah mengerling pada seorang wanita muda yang berjalan di hadapan kereta mereka.

Pakaiannya agak nakal.Skirt pendek sampai lutut warna pinkish dan fesyen rambut ala-ala Avril Lavigne.Warna rambutnya coklat kuning.Nampak penampilan macam sama dengan penyanyi berasal dari Kanada itu tapi dibezakan dengan warna biji mata.Avril Warna biji mata Avril biru, wanita tadi dikurniakan warna hitam.

‘Bagi orang macam ni inilah fesyen agaknya kot..’ sengaja Syahid menggunakan perkataan fesyen walaupun dia sedar itu bukan anjuran berpakaian dalam Islam.

Itu fesyen jahiliyiyah..  Dedah sana  .. terbuka sana… Warna rambut sesuka hati.. Nada Mak Cik Khadijah keras.Geram sangat.Zaman dia muda-mudi dulu tak ada teruk sangat sampai macam yang dia tengok sekarang. Ye la,baju kurung menjadi peneman selalu.Banyak pakaian baju kurungnya labuh.Kadang-kadang sampai lutut.Biasanya dipadankan dengan kain panjang yang berlipat tepi.Sopan sikit.


Kali ini Syahid setuju.Zaman mungkin berubah tapi didikan agama tak perlu berubah.Teringat pada adik perempuannya, Syahidah.

Bersambung..

Thursday 4 April 2013

Kotak Rasa


Aku sedang berteleku di tepi pantai dengan air mata berjejeran apabila aku didekati oleh seseorang. Dia memperkenalkan dirinya sebagai jurujual. Barang baik katanya kepadaku. Kejadah apanya orang ni nak jual barang pada orang yang tengah ’frust’ macam aku ni? Aku buat tidak peduli, tanda tidak berminat. Tetapi dia tetap tidak mengalah.

"Cuba cik lihat dulu barang yang saya bawa ni. Mesti cik tidak akan menyesal. Lagipun memang cik tengah perlukannya saat ini."

"Apadia? Kalau tisu, tak apalah, hang pi balik ja."

" Bukan tisu, cuba lihat dulu cik."

Aku dengan malas, menuruti permintaan jurujual tersebut. Ternyata memang bukan tisu tetapi beberapa biji kotak yang berwarna warni yang cantik.

"Tupperware?" Tanya aku. 

Dia tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Katanya, ini bukan tupperware, tetapi kotak rasa. Aku yang tadinya malas mahu melayan, mula tertarik. Jurujual itu terus bercerita. Setiap warna pada kotak ini mempunyai makna tersendiri. Kotak merah untuk rasa cinta, kotak hitam untuk kemarahan, kotak hijau untuk rasa tenang, kotak kuning untuk rasa gembira, kotak biru untuk rasa sedih, kotak coklat untuk kekuatan dan kotak ungu untuk rasa sepi.

Katanya, aku hanya perlu memilih kotak yang aku kehendaki dan curahkan segala rasa aku pada kotak itu lalu dibuang. Dengan itu, segala rasa yang aku ingin hapuskan akan hilang. Aku berminat, lalu aku memilih untuk membeli kotak merah, hitam, biru dan ungu. Jurujual itu tersenyum lalu memberikan aku kotak-kotak yang aku pinta.

Aku mula merasa teruja dengan kotak-kotak rasa tersebut. Jurujual itu masih di sisi aku. Dia menunjukkan aku cara untuk membuka kotak itu supaya aku dapat meluahkan rasa-rasa yang terbuku di dalam hati. Selesai mencurahkan segala rasa, kotak-kotak tersebut aku campak ke celahan ombak-ombak pantai.

Dengan secara tiba-tiba, perasaan cinta, marah, sedih dan sepi aku hilang. Aku gembira. Namun jauh di sudut hati kecil aku, aku terasa bagaikan ada kekurangan. Rasa kosong dan hambar. Aku bertanyakan sebabnya pada si jurujual tersebut. Adakah itu kesan sampingan menggunakan kotak-kotak itu?

Jurujual itu tadi hanya ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya. Aku hairan.

Katanya, Tuhan sengaja mencipta pelbagai rasa untuk kita rasa dalam hidup. Rasa cinta yang mebolehkan kita menjalani hidup dengan penuh kebahagiaan. Namun cinta tanpa dugaan adalah hambar. Tidak menarik. Kesedihan akibat cinta itu juga akan mengajar kita untuk kuat. Dengan kekuatan itulah kita akan cuba bangkit melawan rasa sepi dan dan marah kita pada insan yang melukakan hati kita. Dengan semua rasa itu, Tuhan juga memberi petanda yang Dia mahu kita mengadu padaNya. Dengan cara itu, ketenangan akan datang secara sendiri. Aku hanya mengangguk perlahan.

Membuang rasa cinta, sedih, marah dan sepi membuatkan hidup kita membosankan. Ibarat hilang beberapa warna dalam hidup, katanya. Tanpa itu semua bagaikan ada ruang-ruang kosong pada diri kita yang membuatkan hidup kita tidak lengkap. Aku mula sedar, dan cuba mencapai kembali kotak-kotak warna rasa yang aku telah buang. Namun sayang, kesemuanya telah hanyut ke tengah laut. Aku kecewa.

Jurujual itu tadi menarik tangan aku dan berkata,

" Cik jangan risau, saya juga ada jual kotak-kotak tambah nilai rasa untuk insan-insan yang kehilangan rasa macam cik." Katanya sambil tersengih


p/s: dah lama skip schedule. hihi

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...