Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Sunday 24 March 2013

Secangkir Kasih - Episod 5 (Akhir)

Penulis: Amienieya Yusof
Blog: http://amienieya-yusof.blogspot.com/

Episod 1 | Episod 2 | Episod 3 | Episod 4

Adwa membuka matanya perlahan. Suasana masih kelam, mungkin hari masih belum siang. Adwa menoleh ke kanan. Zikri tertidur di sofa berhampiran. Dia menoleh ke kiri, tangannya erat dalam genggaman seseorang. “Mama?” Air matanya terus mengalir melihat wajah mamanya yang terlelap berbantalkan lengan di sisi katil tangannya erat dalam genggaman mamanya itu.
Esakan kecil Adwa mengejutkan Puan Adibah dari tidur. Dia bangkit dan duduk tegak. Tangan Adwa masih digenggamnya erat. “Wawa, Wawa okay? Wawa ada rasa sakit dekat mana-mana ke?” Adwa menggeleng. “Habis tu kenapa Wawa nangis?” soal Puan Adibah lagi.
“Mama… Mama…” Hanya itu sahaja yang terbit dari bibir Adwa.
“Ya, mama kat sini. Mama tak pergi mana-mana, sayang.”  Puan Adibah mengelap air mata yang mengalir di pipi anaknya itu.
Tangisan Adwa menyedarkan Zikri yang sedang tidur di sofa. Dia menghampiri ibu mertua dan isterinya di katil. “Wawa?” Zikri menegur.
“Abang, mama…” Adwa bersuara dalam tangis.
“Ya, ni mama. Mama temankan Wawa dekat sini.” Zikri bersuara lembut.
Baby?” soal Adwa.
Baby sihat. Anak-anak kita sihat dan selamat sayang. Cute macam ibu dia.” Zikri tersenyum senang. “Esok, kita jumpa baby ya? Malam ni, Wawa tidur dulu.” Lembut Zikri memujuk.
“Wawa nak tidur dengan mama?” Adwa meminta.
“Boleh. Mama tidur dengan Wawa dekat sini.” Puan Adibah menepuk lembut bahu Adwa. Zikri mengesat matanya yang terasa panas. Adwa memejamkan matanya. Puan Adibah mengesat air mata di pipi Adwa dan juga di pipinya dan mereka sama-sama terlelap di situ.
Keesokan paginya, Adwa mula segar semula. Dia ditemukan dengan bayi kembarnya sebelum mereka dihantar semula ke pusat penjagaan rapi kerana kedua-duanya merupakan bayi pramatang. Zikri meminta diri untuk solat dan menyudahkan kerjanya sebelum kembali ke bilik Adwa. Papa dan abang-abangnya pula sudah kembali ke rumah, berehat seketika sebelum datang semula petang nanti. Yang tinggal hanya Puan Adibah dan Adwa.
“Mama, mama masih marahkan Wawa?” soal Adwa perlahan. Puan Adibah menggeleng.
“Mama masih bencikan Wawa?” soal Adwa lagi.
“Mama tak pernah bencikan Wawa, sayang. Tak ada mama yang bencikan anaknya. Sembilan bulan mama mengandungkan Wawa dengan Najwa. Walaupun penat, walaupun sakit, hati mama senang bila rasa Wawa dan Najwa bergerak dalam rahim mama.” Puan Adibah bersuara lembut.
“Kalau mama tak bencikan Wawa, kenapa mama tak datang tunggu Wawa dekat airport? Kenapa mama tak datang waktu hari pernikahan Wawa?” soal Adwa lagi.
“Mama tahu mama salah. Lepas Najwa meninggal, mama rasa kosong. Wawa pun dah tak balik rumah tu lagi. Mam nak sangat jumpa Wawa. Tapi mama takut. Mama takut Wawa bencikan mama lepas apa yang mama dah buat pada Wawa. Mama jauhkan Wawa dari Najwa sebab mama tak mahu hilang Wawa juga. Tapi mama tak sedar yang sebenarnya mama buat Wawa bencikan mama. Mama minta maaf, sayang.” Puan Adibah mengesat air mata yang mengalir di pipinya.
“Wawa tak pernah bencikan mama. Wawa rasa mama tak sayang Wawa. Tapi, lepas Wawa mengandung, hari-hari Wawa rasa seronok bila rasa ada baby kecil dalam perut Wawa. Wawa rasa bahagia jadi ibu. Wawa baru faham perasaan mama sebagai seorang ibu. Zikri pun selalu cakap mama tetap mama. Wawa cuma marah dengan mama. Wawa marah sebab mama tak ambil berat fasal Wawa. Wawa tak pernah bencikan mama. Mama tetap mama Wawa sampai bila-bila. Wawa sayang sangat dengan mama.” Adwa memeluk erat tubuh mamanya.
“Mama pun sayangkan Wawa. Mama minta maaf atas apa yang mama dah buat sebelum ni. Beri mama peluang untuk tebus kesalahan mama?” Puan Adibah membalas pelukan Adwa. Zikri hanya berdiri di sebalik pintu. Dia sudah lama berdiri di situ sebnarnya, sengaja memberi peluang kepada mama dan anak itu untuk berbicara dari hati ke hati.
“Mama…” Adwa bersuara perlahan.
“Ya, sayang?”
“Sakit…”
“Sakit? Sakit dekat mana?” soal Puan Adibah sambil merenggangkan pelukan.
“Sakit…” Adwa mula mengerang kesakitan.
“Sabar, Wawa.” Puan Adibah  ingin bangkit namun Zikri terebih dahulu melangkah masuk.
“Kenapa ma?” soal Zikri.
“Sakit…” Rintih Adwa.
Zikri pantas menekan butang kecemasan dan membaringkan Adwa semula ke atas katil. Dia meluruskan tubuh isterinya dan mengeluarkan stetoskopnya. Seketika kemudian, seorang lagi doktor dan dua orang jururawat melangkah masuk.
“Wawa, dengar abang tak?” soal Zikri. Adwa mengangguk.
“Sakit dekat mana?” soal Zikri.
“Sakit…” Adwa memegang perutnya.
Dr Sofia mencapai jarum suntikan dan menyuntik ubat penahan sakit pada Adwa buat sementara waktu. “Zikri, kita bawa dia ke bahagian X-Ray.” Dr. Sofia memberi arahan. Zikri menurut. Adwa dibawa ke bahagian X-Ray sebelum dipindahkan ke bahagian kecemasan.
******************************************************************************
Zikri melangkah keluar ke lobi dengan wajah yang sukar untuk ditafsirkan. Wajahnya kosong tanpa riak. Mereka semua menghampirinya. “Zikri, ada apa-apa yang tak kena ke?” soal Puan Hafida, ibu Zikri.
“Ada pendarahan dan darah beku dalam rahim Wawa. Kita terpaksa bedah dan buang rahim dia.” Zikri bersuara perlahan.
“Teruk sangat ke?’ soal Aiman.
“Risiko 50% sama ada dia berjaya ataupun tak.” Zikri bersuara dengan keluhan. Masing-masing terkaku seketika. 50% bukanlah sesuatu yang sedikit. Walaupun 50% kemungkinan berjaya, kemungkinan 50% untuk gagal adalah suatu fakta yang menakutkan.
“Kita cuma boleh berdoa agar Wawa akan kuat dan berjaya hadapi pembedahan ni.” Zikri melangkah pergi. Dia sudah tidak berdaya lagi untuk menerima berita ini. Dia sedar, sebagai seorang doktor, dia perlu kuat. Namun, yang sedang bertarung itu isterinya. Dan kerana itu, dia tidak dibenarkan untuk bersama-sama di dalam dewan bedah. Dia melangkah ke surau. Yang tinggal kini hanya doa agar pembedahan isterinya berjaya.
Puan Adibah sudah terduduk di atas lantai. Encik Khairul membantu Puan Adibah bangkit dan duduk semula di kerusi. “Kenapa sekarang, abang? Saya dah janji yang saya nak jadi mama yang baik untuk dia. Saya nak tebus semua kesalahan saya.” Puan Adibah menangis dalam pelukan suaminya.
“Diba, kita doakan yang terbaik untuk dia, ya. Jom kita ke surau?” Ajak Encik Khairul. Mereka sama-sama melangkah menuju ke surau untuk menuaikan solat hajat dan mendoakan keselamatan Adwa.
Usai solat, Puan Adibah duduk sendirian di sisi dinding. Air matanya seolah sudah kering. Perlahan dia mengangkat tangan dan berdoa. “Ya ALLAH Ya Tuhanku. Kau ampunkanlah dosaku, ya ALLAH. Aku sedar, aku berdosa. Aku sedar aku terlampau mengikut perasaan. Tetapi Ya ALLAH, anakku cuma seorang anak yang masih rindukan pelukan aku sebagi ibu. Kau berikanlah dia peluang, kau berikanlah aku peluang untuk mencurahkan kasih sayang aku pada dia.”
“Ya ALLAH, berikanlah peluang untuk anakku merasa kebahagiaan hidup. Selama 27 tahun dia bersendirian di atas muka bumi ini. Kau berikanlah dia peluang untuk merasakan kasih aku sebagai ibu, kau berikanlah cucu-cucuku peluang untuk merasakan kasih sayang daripada ibu mereka. Kau berikanlah peluang pada menantuku untuk merasakan kasih sayang dari seorang isteri dan kau berikanlah aku peluang untuk menjadi seorang ibu yang baik untuk Adwa. Hanya Engkau yang mampu menentukan dan mengabulkan doaku.”
“Ya ALLAH, Engkaulah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi. Berikanlah peluang untuk keluarga kami kembali bersatu. Sesungguhnya hanya Engkau yang maha Berkuasa dan Maha pengampun. Ampunkanlah dosaku, Ya ALLAH. Dan berikanlah peluang pada hamba-Mu ini untuk menebus dosa-dosa yang lalu. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.”
Puan Adibah mengesat wajahnya yang sudah basah dengan air mata. Harapannya cuma satu. Agar Adwa berjaya melalui pembedahan dan kembali tersenyum. Selama ini, dia hanya mampu menatap senyuman anaknya itu dari jauh. Dia menyalahkan Adwa selepas apa yang terjadi kerana dia takut kehilangan kedua-dua anaknya. Dia amat menyayangi Adwa dan Najwa.
Namun, dia tersalah langkah. Dia terlalu menumpukan perhatian pada Najwa dan membiarkan Adwa sendirian mengatur langkah. Dia hanya mampu memandang tubuh Adwa saat gadis itu terbaring lesu selepas pemergian Najwa. Dia hanya mampu menangisi nasib gadis itu tanpa mampu memberikan pelukan.
Dia hanya mampu menitiskan air mata sendirian saat Adwa melangkah keluar dari rumahnya. Dan memeluk erat gambar Adwa saat gadis itu menanti pesawat untuk menyambung pelajarannya ke luar negara. Dan harinya dipenuhi dengan kerisauan dan kegalauan saat mendapat berita yang Adwa menjadi sukarelawan di Palestin. Hari-hari dia berdoa agar Adwa kembali ke Malaysia. Setiap hari jugalah dia mengubah jarum di peta Palestin ke peta Malaysia, dengan harapan Adwa akan kembali ke tanah air.
Dia hanya berkurung di bilik saat Adwa kembali ke tanah air. Dia jadi buntu dan takut jika Adwa tidak mampu menerimanya semula. Dan dia ingin sekali melangkah keluar dan menghadiri majlis pernikahan dan menyerahkan anaknya pada keluarga pihak lelaki namun dia tidak mampu. Dia takut hari gembira Adwa akan berubah dengan kehadirannya.
Tanpa dia sedar, Adwa menantinya saban hari. Adwa tetap menanti dan menunggu agar dia muncul walaupun hari sudah malam. Walaupun panggilan terakhir sudah dibuat, Adwa tetap berdiri menanti kehadirannya di lapangan terbang. Dan dia sendiri tida sedar yang Adwa sangat mengharapkan kehadirannya ke majlis perkahwinan anaknya itu.
Masing-masing hanya menyimpan perasaan sendiri tanpa memahami dan mengetahui apa yang sebenarnya bermain di dalam fikiran yang lain. Saat ini Puan Adibah hanya mampu berharap agar keajaiban akan berlaku dan doanya dan mereka yang lain akan dimakbulkan.
******************************************************************************
Zikri melangkah menolak pintu bilik yang menempatkan isterinya dan melangkah masuk. Dia duduk di sisi isterinya yang masih tidak sedarkan diri itu. Perlahan tangannya mencapai dan menggenggam jemari isterinya. Saat ini, dia cuma berharap isterinya akan membuka mata dan memandang wajahnya. Sekurang-kurangnya, dia mahu melihat senyuman isterinya itu seperti biasa. Dia masih belum kuat untuk kehilangan wanita itu.
“Abang?” Zikri spontan mengangkat wajah mendengar suara Adwa.
“Wawa…”Zikri mengusap tangannya ke wajah. Akhirnya, doa mereka sekeluarga dimakbulkan.
“Mana yang lain?” soal Adwa perlahan.
“Kat luar. Abang je boleh masuk dalam ni. Wawa tunggu sini ya.” Zikri berlalu keluar dan membuat laporan di kaunter. Dia melangkah ke lobi untuk memberitahu berita gembira tersebut kepada ahli keluarganya.
Tidak lama kemudian, Dr. Sofia melangkah keluar dengan senyuman. “Alhamdulillah, semuanya di dalam kawalan. Kita akan buat beberapa pemeriksaan sebelum Adwa dipindahkan ke wad biasa semula. Kita akan letak dia dalam pemerhatian sebelum buat keputusan yang selanjutnya.” Berita gembira itu disambut dengan penuh kesyukuran.
Seminggu kemudian, Adwa dibenarkan pulang ke rumah. Anak-anaknya sudah dibenarkan pulang terlebih dahulu dua hari yang lalu. Segalanya kembali normal seperti sediakala. Adwa dibawa pulang ke rumah keluarganya dan diletakkan sepenuhnya di bawah jagaan mamanya.
“Zikri…” Puan Adibah menegur Zikri yang sedang membaca akhbar di sofa.
“Ya, ma?” Zikri menutup surat khabar yang sedang dibacanya.
“Wawa panggil.” Puan Adibah berlalu ke dapur. “Jangan bercinta lama-lama sampai lupa nak makan pulak.” Sempat dia berjenaka sebelum berlalu ke dapur.
Zikri melangkah masuk ke dalam bilik yang menempatkan Adwa dan anak kembar mereka. “Wawa cari abang ke?” soal Zikri.
“Mestilah. Abang nak on call kan malam ni. Mestilah tak akan jumpa abang sampai lusa. Kalau Wawa tahu macam ni, Wawa tak kahwin dengan abang dulu.” Adwa ketawa kecil.
“Kenapa pulak?” soal Zikri.
“Yelah, asyik on call je. Susah jugak kahwin dengan doktor ni.” Adwa pura-pura merajuk.
“Ala, sabarlah. Dua tahun je lagi sebelum research abang selesai. Nanti lepas abang dah siap buat PhD and stuff, bolehlah Wawa tengok muka abang hari-hari.” Zikri memujuk.
“Dua tahun baru siap research. Nak buat PhD lagi, apa lagi, anak-anak kita dah masuk sekolah menengah nanti baru abang free.” Adwa masih dengan muka rajuknya.
“Merajuklah tu kononnya ya?” Zikri mengusik.
“Terima kasih, abang.” Adwa memeluk bahu suaminya.
“Untuk apa?” soal Zikri.
“Terima kasih sebab jadi suami Wawa.” Adwa tersenyum manis.
“Tu je?” Zikri memeluk tubuh isterinya.
“Tak cukup ke?” soal Adwa pula.
More than enough.” Zikri membalas senyuman isterinya. Adwa sungguh bersyukur kali ini. Mungkin dia pernah kering kasih sayang dari mamanya, tetapi hari ini, kasih sayangnya berganda. Dia ada dua orang mama, dua orang ayah, seluruh ahli keluarga dia dan suaminya. Yang penting, dia ada seorang suami yang begitu menyayanginya dan anak-anak yang melengkapkan kehidupannya sebagai seorang isteri dan ibu. Dia mahu menjadi ibu yang terbaik. Jika dahulu, dia mahukan walaupun sedikit dari kasih sayang itu, kini, selautan kasih telah berada dalam genggamannya. Terima kasih ALLAH atas kurniaan dan kasih sayang yang sangat luas ini.

TAMAT.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...