Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Friday 15 March 2013

Kerana Zulaikha

Sepi. Itulah perkataan yang tepat untuk menggambarkan isi hatinya saat ini. Iqram gelisah. Keluh kesah hanya dia yang rasa kini. Cintanya pada seseorang membuatkan dia gila bayang. Ingin saja dia memetik si bunga lantas menyeri taman hatinya yang makin kemarau. Namun, dia tak mampu. Malu!

“Oit bro. Pehal?” Nizam mengambil tempat. Rokok ditangan cuba dinyalakan. Seakan punya banyak masalah yang boleh dia lepaskan melalui sedutan nikotin itu.
“Aku baru nak sedut udara segar di malam hari. Kau ni spoillah,” Luahnya tanpa rasa. Dia tahu Nizam tak pernah terasa. Tak pernah berubah dengan tabiat yang satu itu.
“Alah, kau ni. Kita bukan cerita pasal aku. Ni aku tengok kau macam baru mati bini. Monyok semacam…” Tepukan dibahu terasa. Ayat itu dibiar bersama angin lalu. Dia malas berbicara tentang hati dan perasaan. Nizam playboy. Mana dia tahu erti cinta dan kesetiaan.
“Beb, aku rasa aku nak menikahlah…” Sejurus selepas kata-kata yang meluncur, ledakan tawa dari Nizam kedengaran. Dia hanya memandang. Lama.  
“Kau apasal pandang aku macam tu? Aku cakap terus terang, aku suka perempuan je…aku…” Nizam terus menepuk Iqram berulang kali. Tawanya mati.
“Zam, aku serius kau gelak. Aku pandang pun tak luak apapun kat hang. Tok sah merepek boleh dak?” Sengaja dia menggunakan dialek kedah. Nizam orang kedah namun tak pula dia fasih. Entah kenapa jadi begitu. Nizam kembali serius.
“Okey cop. Iq kenapa? Kau tiba-tiba kata nak kahwin? Bukan kau jugak kata dulu, kau nak kahwin umur 30. Tunggu ada harta sendiri. Ini tak, 25 pun tak masuk lagi bro. Kau biar betul?” Iqram tersenyum. Dalam hati dia mengiyakan. Bukan dia lupa kata-kata sendiri. Cuma sejak terpandangkan Zulaikha hatinya terpaut. Entah kenapa ada semangat yang memburu hatinya. Yang memaksa dia segerakan pernikahan. Semuanya itu menghantuinya sejak seminggu selepas perkenalan dengan si cantik Zulaikha. Gadis muslimah tapi sombong.
“Aku tanya ni bro! Kau boleh menggelamun lagi?” Nizam sekali lagi menepuk bahu sahabatnya.
“Okey, macam ni. kau ingat tak dua perempuan yang kita jumpa seminggu lepas? Perempuan tulah yang buat aku rasa nak kahwin sekarang. Aku tak tahu nak terangkan bro. Tiba-tiba je perasaan ni wujud dan aku tak sanggup langsung nak jauh dengan dia….” Nizam terdiam. Berat juga masalah sahabatnya ni. lantas tangan diletakkan di bahu Iqram.
“Okey Iq, aku rasa eloklah kau merisik dia dulu. Tanya, dah ada yang punya belum. Kalau kosong, kita sama-sama hantar rombongan. Beritahu mak ayah kau, aku rasa tak ada masalah sebab kau dah kerja. Cuma rumah je belum ada. Tapi aku rasa, mak ayah kau setuju punya. Benda baik, buat apa nak lengahkan?” Akhirnya Nizam bersuara. Dan kali ini Iqram pula yang terdiam.
“Kau ke yang cakap tadi Zam? Serius?” Iqram memecahkan sepi dengan tawa lepasnya. Selama ini dia tahu Nizam bukanlah seorang yang sukakan komitmen. Lebih-lebih lagi soal kahwin. Jarang dia dengar pendapat bernas lantas setuju dengan cadangannya. Biasanya Nizamlah akan bantah sekerasnya kalau melibatkan komitmen. Bagi sahabatnya, perempuan itu leceh. Mengada. Pelik sekali.
“Kau jangan pelik Iq. Aku cuma tolong bagi pendapat aku je. Tapi kalau kau suruh aku kahwin sekali dengan kau, memang taklah. Aku belum ada nafsu nak berumah tangga. Leceh beb!” Tawanya lagi. Dia kembali menghidupkan rokok kedua. Tak puas rasanya sebatang cuma. Malam itu dibiarkan berlalu dengan sepi seribu bahasa. Keduanya melayan perasaan sendiri.

Xxxxx

Zulaikha hanya menunduk di satu sudut. Hanya perbualan orang-orang tua kedengaran. Serius sahaja bunyinya.
“Zu… oh zu…” Suara si emak mendayu memanggil anak daranya. Zulaikha mengangkat muka. Air mata menitik perlahan.
“Hai, kenapa anak mak sedih?” Mak Mah menarik tangan anaknya lembut ke kamar berdekatan. Bimbang para tamu melihat air mata yang jatuh dari empangan mata anaknya.
“Mak…” Zulaikha membuka mulut.
“Ya, Zu tak suka dengan orang yang meminang Zu? Kalau tak suka, mak boleh tolak…” Mak Mah seakan mengerti maksud anaknya.
“Bu…bukan macam tu mak. Cuma…” Air mata berderai tak mampu dilindung lagi. Pelukan kemas si emak dan si anak. Diam.
“Aik kenapa senyap je kat dalam? Orang luar dah tunggu jawapan. Zu sudi tak jadi isteri Iqram?” Tenang sahaja si ayah menutur kata. Zulaikha melepaskan pelukan perlahan-lahan.
“Zu ikut je ayah tapi dengan syarat…” Ayah dan Emaknya memandang. Seminit kemudian, barulah Zulaikha mengatakan syarat tersebut. Lama Pak Abu dan Mak Mah terdiam. Akhirnya, mereka setuju dengan syarat yang dikemukakan oleh si anak. Lantas hasrat itu disampaikan pula kepada bakal suami Zulaikha.
“Iqram, Zulaikha nak bercakap dengan kamu…” Iqram yang sedari tadi menundukkan wajah segera memandang. Pelik.
“Mari sini. Pakcik tunjukkan bilik…” Para tetamu sudah berbunyi. Masakan elok si dara dan teruna bercakap sendiri. Dalam bilik. Lantas Pak Abu menerangkan situasi sebenar. Barulah reda sedikit kegundahan mereka.
“Iqram ke mari nak. Zulaikha, Iqram dah sampai. Mak tak tutup pintu bilik. Mak ada kat luar ni, kau orang bincanglah dari hati ke hati…” Pesan Mak Mah perlahan. Dia tak gusar akan fitnah. Dia tahu anaknya pandai menjaga diri dan auratnya. Pak Abu dan Mak Mah hanya berbalas pandangan. Mereka diam sahaja.
“Okey, Zulaikha. Boleh cakap apa syaratnya? Awak tak sudi nak terima saya ke awak dah ada pilihan hati?” Laju sahaja Iqram menanyakan hal sebenar. Dia tak betah berlama dalam bilik dengan bukan mahram walaupun ibu bapa si gadis di luar.
“Sebenarnya saya ada masalah. Saya bukan tak nak terima awak, tapi saya tak boleh. Saya terpaksa menolak pinangan awak. Awak boleh bahagia dengan perempuan lain. Tapi bukan saya…” Usai sahaja Zulaikha menolak pinangannya, Iqram pula terdiam.
“Kalau tak ada bantahan, saya keluar dulu,”
“Kejap!” Iqram bersuara saat si gadis ingin melangkah pergi.
“Ya ada apa?” Zulaikha tak mampu berpaling. Dia bimbang rahsia hatinya terbongkar jua.
“Saya tak kisah siapa awak sebelum ni, yang saya tahu saya nak menikah dengan orang di depan mata sekarang. Kalau awak risau pasal masa lalu lupakan je. Saya terima awak seadanya. Saya tahu pilihan saya tepat kerana Allah sudah menunjukkan jalan untuk kita berdua. Kenapa awak perlu menolak takdir?” Muka Zulaikha sudahpun basah dengan air matanya.
“Walaupun…walaupun ajal saya sudah dekat?” Kata-kata Zulaikha berjaya mendiamkan Iqram. Lama tiada respon daripada lelaki itu. Lantas Zulaikha keluar dari bilik tersebut sambil mengesat air mata. Adik beradiknya yang lain hanya mampu memandang hiba. Bukan mereka tak tahu, Zulaikha sedang berperang dengan sakit yang dia hidapi. Entah kapan dia akan menemui Ilahi. Atas desakan fakta itulah dia harus menolak pinangan lelaki yang berjaya menambat hatinya. Entah mengapa, sakit sangat hatinya kala ini. Makin gelap dunia terasa dan dia rebah ke atas lantai dapur. Suasana jadi kelam. Gelap!

Xxxxx

“Hai anak abah, tengok apa tu?” Iqram menggeletek anak kecilnya. Baru setahun usianya. Qaireena Zulaikha ketawa kegelian. Iqram juga turut sama ketawa melihat telatah si anak. Comel!
“Ba…ba…” Iqram terdiam.
“Apa sayang?” Matanya tertumpu pada seorang wanita. Ah cantik sekali wajah isterinya. Rindu sungguh pada Zulaikha.
“Ba…” Sekali lagi Iqram tersedar dari lamunan. Dirangkul erat si anak. Seakan melepas rindu yang lama tersimpan. Derap kaki dari dalam rumah jelas kedengaran. Iqram mengalih pandangan.
“Sudahlah bang. Kesian budak tu, lemas nanti…” Si isteri mengambil tempat di sebelah. Iqram hanya melepaskan tawa.
“Alah, geram kat budak comel ni. siapa suruh comel sangat…” Mengomelnya sendiri. Zulaikha tersenyum.
“Ayin elok-elok tengok gambar, abang kacau. Kang dia nangis bukan abang nak pujuk kan? Zu  jugak yang kena…” Pipi Qaireena dicubit lembut.
“Kerana Zulaikha yang abang sayangi, abang berjaya berubah menjadi yang lebih baik. Thanks sayang. Dan kerana Zulaikha si kecil yang abang kasihi, memberi cahaya kebahagiaan dalam hidup abang. Thanks both of you…” Bibir melekap di dahi isteri yang sangat dia cintai. Iqram bertuah dengan adanya kedua-dua Zulaikha, lengkap hidupnya sebagai insan di bumi Allah ini.
“Walaupun Zu entah hidup entah tak di kemudian hari?” Pertanyaan itu sungguh menyeksakan. Sakit Zulaikha tak dapat disembuhkan. Tapi boleh ditangguhkan dengan makan ubat.
“Ajal maut di tangan Tuhan. Jangan fikirkan sangat, kalau ditakdirkan Zu tak ada esok, abang terima dengan redha. Allah dah beri abang kebahagiaan setahun lamanya. Insyallah, abang akan kuat. Anak kita kan ada?” Iqram melontarkan kata-kata setenang air di kolam. Dia cuba untuk kuat. Sebelum bernikah pun dia tahu hakikat itu.
“Abang, Zu yang tak kuat…” Pelukan dieratkan.
“Allah kan ada sayang…” Iqram dan Zulaikha membiarkan diri dengan tangisan hiba. Entah bila ajal akan memisahkan mereka. Namun, mereka tahu yang hidup cuma sekali. Hargai yang tersayang selagi ia ada di sisi. Itulah yang mereka sedang lakukan. Menghargai dan menyayangi satu sama lain.
Tamat~~~

2 comments

dah kenapa aku terbayang senyuman iqram dinzly..?

kakakaka..

kemana ipram nak pegi akhirnya...

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...