Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Sunday 24 February 2013

Secangkir Kasih - Episod 1

Penulis: Amienieya Yusof
Blog: http://mim-hasniyah.blogspot.com   


Berikan aku peluang untuk merasa walaupun cuma secangkir kasih darimu.

“Wawa, dah?” soalan itu membuatkan Adwa berpaling.
“Belum Mak Usu. Kejap je lagi.” Adwa kembali menghabiskan kerjanya menyusun barang-barangnya ke dalam stor.
“Wawa ni dah tak nak balik rumah ni ke?” soal Seri.
“Mak Usu dah tak larat nak jaga Wawa ke?” suara Adwa perlahan dan sayu.
“Bukan… Bukan macam tu. Wawa, Wawa kena ingat, selama tiga belas tahun mama jaga Wawa, besarkan Wawa…”
“Mak Usu, Mak Usu tak payahlah nak cerita mama jaga Wawa ke apa. Wawa dah besar, Wawa…” Adwa terduduk di atas lantai secara tiba-tiba.
“Wawa, kenapa?” Seri segera menghampiri anak saudaranya itu. Wajah gadis itu sudah berubah pucat.
“Sakit…” Adwa menekan dadanya.
“Wawa, sabar Wawa. Jom kita masuk dalam.” Seri memapah Adwa masuk ke dalam rumah. “Aiman!” Seri melaung sebaik sahaja mendudukkan Wawa di atas katil. Aiman segera berlari turun ke bawah.
“Kenapa Mak Usu?” soal Aiman kalut.
“Mak Usu tak tahu. Tolong tengokkan Wawa ni.” Seri juga ikut kalut.
“Adik, kenapa ni dik?” soal Aiman sambil memangku adik bongsunya itu.
“Achik… Achik…”
“Adik, Achik kan kat hospital. Lepas ni, kita pergilah jumpa dia. Sekarang dia dalam operation theater, kan? Along janji lepas ni Along bawa adik jumpa dia. Adik kenapa ni?” Aiman bersuara risau.
“Achik… Achik…” Dan suara Adwa tenggelam begitu sahaja.
“Aiman bawa dia ke bilik dululah, Mak Usu.” Aiman akhirnya mencempung tubuh adik bongsunya itu masuk ke dalam bilik.
******************************************************************************
“Adik…” Adwa membuka matanya.
“Achik!” Adwa terus bangkit dan memeluk tubuh kakak kembarnya itu.
“Adik, dah tiba masanya kita berpisah. Achik kena pergi dari sini.” Najwa bersuara dengan senyuman.
“Achik nak pergi mana? Adik tak boleh hidup tanpa Achik. Kita tak boleh berpisah. Walaupun kita jauh…” Najwa meletakkan telunjuknya ke bibir adiknya itu.
“Achik tahu. Achik pun sayang sangat dengan adik. Tapi, hidup kita di dunia ni hanya pinjaman dik. Achik kena pergi sekarang. Ini janji Achik dengan ALLAH. Achik kena tunaikan. Adik jangan sedih-sedih ya… Adik kena jaga ayah, mama, Along dan Angah. Achik dah tak boleh nak tolong tengok-tengokkan diorang lagi.” Najwa tersenyum tawar. Air mata mengalir di pipinya.
“Tak, jangan Achik! Adik tak nak Achik pergi. Achik!” Adwa mula menangis.
“Adik, janji dengan Achik yang adik akan lebih kuat daripada sekarang. Janji dengan Achik, sayang?” Najwa mengesat air mata yang mengalir di pipi adiknya itu.
“Adik perlukan Achik untuk jadi lebih kuat. Janganlah tinggalkan adik…” Adwa memeluk erat tubuh kakaknya itu.
“Achik pun sayang adik sangat-sangat. Ingat pesan Achik ya. Assalamualaikum.” Najwa meleaikan pelukan dan berlalu pergi.
“Achik!” Adwa menangis lagi.
******************************************************************************
“Adik, adik!” Aqil menggoyangkan bahu adiknya itu.
“Angah…” Adwa bersuara perlahan.
“Kenapa ni?” Aqil bertanya sambil mengesat air mata di pipi adiknya itu.
“Achik…” Adwa memejamkan matanya rapat.
“Kenapa dengan Achik?” soal Aqil.
“Dia nak tinggalkan adik… Adik takut. Adik tak boleh hidup tanpa Achik. Adik tak nak…” Adwa bersuara dalam tangisan.
Aiman dan Aqil berpandangan sesama sendiri. “Adik mimpi ni. Adik jangan fikir yang bukan-bukan okay? Insya-ALLAH, tak ada apa-apa akan terjadi pada Achik. Kita sama-sama doakan Achik selamat, ya dik?” Aiman memujuk.
“Aiman, ayah telefon.” Suara Mak Jah, pembantu rumah mereka pecah di muka pintu.
Aiman bangkit dan menuju ke meja telefon. Seri menanti dengan wajah yang keruh. Aiman mencapai gagang. “Assalamualaikum, ayah?”
“Waalaikumussalam. Along, ajak Mak Usu datang ke hospital sekarang. Bawa adik-adik sekali.” Serius bicara En. Khairul di corong telefon.
“Kenapa ayah?” soal Aiman dengan suara yang agak tersekat.
“Achik kritikal. Datanglah sini. Kita buat apa yang patut. Suruh Mak Usu telefon tok dengan tokwan sekali.” En Khairul memberi arahan.
Aiman mematikan talian dan memandang mak usunya. “Ayah suruh Mak Usu call tok dengan tokwan kat kampung. Lepas ni kita pergi hospital. Najwa kritikal.” Aiman bersuara sebelum berlalu ke bilik Adwa.
******************************************************************************
“Achik, adik minta maaf. Tolonglah jangan tinggalkan adik.” Tangisan Adwa begitu meruntun hati mereka yang ada di situ. Adwa Batrisya dan Najwa Batrisya. Kembar seiras yang sangat berbeza. Namun mereka sangat rapat dan saling melengkapi.
“Adik, sudahlah tu… Tak baik adik menangis macam ni…” En. Khairul cuba memujuk anak bongsunya itu.
“Achik, Achik kena kuat. Achik kan dah janji dengan adik, Achik akan jaga adik. Achik kena kuat. Adik cuma ada Achik je untuk teruskan kehidupan ni, Chik. Tolonglah jangan tinggalkan adik...” Adwa mengesat air mata yang mengalir di pipinya.
“Adik janji adik tak akan tinggalkan rumah tu lagi. Adik akan jaga Achik sampai Achik sembuh. Adik akan selalu temankan Achik tidur, makan. Janganlah macam ni, Achik. Kuatlah demi adik ya…” Adwa bangkit dari duduknya. “Adik pergi solat dulu. Adik nak doakan Achik bangun. Achik pun kena kuatkan semangat demi adik. Demi ayah, demi mama, demi Along, Angah... Adik sayang sangat dengan Achik.” Adwa berlalu dari bilik tersebut menuju ke surau ditemani Seri.
“Doktor, boleh kami minta kebenaran untuk buat solat hajat dalam bilik ni?” soal En. Khairul kepada doktor yang bertugas. Doktor itu tersenyum dan segera mengangguk.
“Along, panggilkan adik. Kita buat solat hajat sama-sama.” Aiman segera menurut.
Mereka bersolat di situ diimamkan En. Khairul. “Ya ALLAH, jika kau masih meminjamkan Najwa pada kami, maka kau bebaskanlah dia dari kesakitan ini Ya ALLAH. Kau sihatkanlah tubuh badannya dan kembalikanlah dia kepada kami dalam keadaan seperti sediakala. Berikanlah dia kesihatan, kekuatan dan kebahagiaan hidup Ya ALLAH. Sesungguhnya sudah banyak penderitaan yang terpaksa dia lalui.”
“Ya ALLAH, jika Najwa adalah pinjamanMu, maka kau ambillah dia dalam keadaan yang baik. Kerana dia adalah anak yang baik. Kau berikanlah kekuatan kepada kami untuk menerima segala ketentuan-Mu Ya ALLAH. Kau kurniakanlah kesabaran dan kecekalan untuk kami meneruskan hidup tanpa dia. Kami reda, Ya ALLAH. Andai itu dapat meringankan penderitaannya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.” En. Khairul mengaminkan doanya.
Masing-masing mengesat mata yang terasa panas. Seri terus sahaja menarik Adwa ke dalam pelukannya. Cuba menenangkan perasaan gadis berusia 18 tahun itu. “Ayah, adik solat hajat sendiri untuk Achik, boleh?” soal Adwa pada ayahnya.
“Buat dalam ni sudahlah, dik. Ayah nak baca Yaasin dengan Along dan Angah.” En. Khairul memberi keizinan. Puan Adibah sudah duduk di sisi Najwa dengan Al-Quran di tangannya.
Adwa mengangkat takbir. “Adik…” Kedengaran suara Najwa di telinganya. Adwa lekas-lekas memejamkan matanya. Membuang rasa ngilu yang terasa mencuck tangkai hatinya. Namun, wajah bersih Najwa bermain di ruangan matanya.
“Adik, Achik sayang adik. Assalamualaikum…” Dan senyuman Najwa kekal di bibirnya sebelum dia berlalu pergi. Serentak dengan itu, Adwa terasa tubuhnya melayang dan terus rebah. Aiman yang kebetulan berada di situ sempat menyambut tubuh adiknya daripada rebah ke lantai.
“Adik! Adik!” Aiman menepuk pipi adiknya yang sudah tidak sedarkan diri itu.
“Abang! Najwa! Anak mama kenapa ni?” Puan Adibah mengusap pipi Najwa.
“Najwa… ikut ayah.” En. Khairul membisikkan kalimah syahadah di telinga anaknya. Kelihatan bibir gadis itu bergerak perlahan dan berulang sebelum terhenti buat selamanya. En. Khairul melepas nafas panjang. Puan Adibah tunduk menangis di bahu jasad Najwa yang sudah tidak bernyawa lagi itu.
Aqil yang sedang duduk di kerusi menggeleng perlahan. Aiman menarik tubuh Adwa di pangkuannya ke dalam pelukan. Segala-galanya sudah berakhir. Penderitaan adik mereka tamat di sini akhirnya. Setelah hampir sepuluh tahun adik mereka berperang dengan kanser darah,  akhirnya penderitaannya berakhir hari ini.
******************************************************************************
Adwa duduk di balkoni hadapan rumah. Kakinya dilunjurkan keluar melalui gerigi pagar. Setelah hampir sebulan dia terbaring, hari ini dia sudah mampu bangkit dan bergerak. Esok, keputusan SPM akan diumumkan. Air mata Adwa mengalir lagi. walau apapun keputusannya esok, dia tahu, kegembiraannya mana mungkin boleh dikongsi lagi. Najwa sudah pergi jauh daripadanya.
“Wawa.” Seri melabuh duduk di sisi anak saudaranya itu. Adwa tersenyum dan menyandarkan kepalanya ke bahu ibu saudaranya itu. Seri memeluk bahu gadis itu. Hampir sebulan anak saudaranya itu terlantar lemah di atas katil. Sudah banyak klinik mereka pergi dan mendapatkan rawatan. Namun semuanya gagal. Akhirnya, mereka berjumpa seorang ustaz di pekan. Setelah di beri rawatan memulihkan ‘semangat’ barulah Adwa kelihatan segar semula. Kata ustaz itu, Adwa terkejut dengan kehilangan orang yang paling dekat dengannya.
“Apa plan Wawa lepas ni?” soal Seri.
“Entahlah. Wawa nak buat Human Science and English kot.” Adwa menjawab tenang.
“Eh, dah tak nak jadi doktor dah?” soal Seri.
“Tak payahlah, Mak Usu. Dulu Wawa nak jadi doktor sebab Wawa nak balik rumah tu. I wanna stay with Achik. Sekarang Achik dah tak ada. Dah tak ada sebab untuk Wawa paksa diri Wawa lagi. Ayah pun cakap ikut je apa yang Wawa nak.” Adwa kembali membuang pandang ke halaman rumah toknya itu.
“Esok Mak Usu cuti. Mak Usu hantar Wawa pergi sekolah ya?” Seri menawarkan.
“Eh, tak apa. Wawa pergi dengan Paklong je.” Adwa segera menolak. Seri tersenyum dan mengangguk. Terlupa pula pada abang sulungnya yang bertugas sebagai Pengetua di sekolah di mana anak saudaranya itu belajar.
So, good luck. Mak Usu tahu Wawa akan dapat apa yang Wawa nak.” Seri mencium pipi anak saudaranya itu sebelum kembali melangkah masuk ke dalam rumah.
Seri turun ke dapur. Kelihatan emaknya sedang bersiap-sedia untuk menyediakan hidangan tengah hari mereka. “Lah, mak… Kan Seri dah cakap Seri masak hari ni. Mak tak payahlah susah-susah turun masak lagi.” Seri menghampiri emaknya.
“Ayah kamu tu bukannya nak makan sangat kalau orang lain yang masak. Dah, pergi tolong mak kopek kelapa kat luar. Wawa mana?” soal Mak Timah pada Seri.
“Ada kat balkoni tu hah. Melayan perasaan. Esok kat result SPM dia dah nak keluar.” Seri melangkah keluar dan melakukan tugasnya mengopek kelapa sebelum kembali ke dapur.
“Mak risaulah tengok Wawa tu.” Mak Timah bersuara tiba-tiba. Seri yang sedang menyiang ayam memandang emaknya yang sedang memerah santan di singki.
“Kenapa?” soal Seri.
“Yalah, mak tak faham betul dengan Kak Ngah kamu tu. Apa yang si Wawa tu dah buat sampai macam tu sekali dia tak pedulikan anak dia sendiri? Mak dah tak tahu nak cakap apa lagi dengan dia. Kamu cakaplah sama dengan kakak kamu tu, Seri.” Mak Timah membasuh tangannya dan kembali mengacau rempah gulai di atas dapur.
“Kalau cakap mak pun Kak Ngah tak mau dengar, cakap Seri ni lagilah.” Seri bersuara kecewa.
“Apa yang Angah tak mahu dengar tu?” Satu suara mencelah dari pintu dapur. En. Mazlan masuk bersama semangkuk besar asam pedas dan sepinggan kuih karipap dan diletakkan di atas meja.
“Awal Kak Long siap masak hari ni?” Seri menegur.
“Dia on call. Lepas hantar dia, terus datang sini.” Encik Mazlan duduk di meja makan.
“Lah, buat susah-susah je Kak Long ni. Boleh je suruh Fitri dengan Aishah makan je kat sini lepas habis tuisyen.” Seri bersuara sambil mengambil tempat di sebelah abangnya.
“Kamu ni Seri. Itulah, mak suruh kahwin kamu tak mau. Ada-ada je alasan. Sebab tu otak kamu lambat berfungsi.” Mak Timah sudah membebel.
“Mak, bukan Seri tak mahu kahwin…”
“Tau dah. Tak ada orang nak, kan? Kamu tu memilih sangatlah, dik.” Encik Mazlan segera memotong bicara adik bongsunya itu.
“Mana ada adik memilihlah, Long.” Seri memuncungkan mulutnya.
“Dah tu, yang kamu tolak si Johan tu? Bukan memilih namanya? Apa yang tak ada dengan Johan tu? Rupa ada, pelajaran ada, cukup pakej nak jadi suami. Ilmu agama pun tak kurang. Kamu nak yang macam mana lagi? Kamu nak tunggu suami kamu jatuh dari langit?” soal Encik Mazlan.
“Bukan macam tulah, Long.” Seri menjawab.
“Biarlah dia tu, Lan. Adalah yang dia simpan tak mahu cakap dengan kita tu. Dia dah besar. Pandailah dia fikir sendiri.” Mak Timah menjawab bagi pihak anak bongsunya itu.
“Hah, ni apa yang Along dengar dok cakap fasal Kak Ngah tadi?” soal Encik Mazlan pada Seri.
“Tak, fasal Wawa. Along tengok sendiri kan waktu majlis tahlil hari tu? Dalam Wawa sakit teruk macam tu pun Kak Ngah boleh cakap macam-macam lagi. Nasib baik ada mak dengan ayah. Angah tu pun macam ikut je cakap Kak Ngah. Tak ada pulak dia nak bantah ke apa. Kesian adik tengok Wawa tu.” Seri mengeluh perlahan.
“Itupun Along tak faham jugak.” Encik Mazlan menggeleng sendiri.
“Along pergilah nasihat Kak Ngah tu. Sudah-sudahlah buat macam tu pada Wawa. Dia tak salah pun.” Seri memujuk abang sulungnya itu.
“Dah berbuih dah mulut Along ni dik oiii. Kak Ngah kamu tu bukannya makan nasihat orang. Bila Along cakap dengan Angah, dia angguk-angguk, tapi Kak Nganh dok macam tu jugak. Tak ada yang berubah pun.” Encik Mazlan menggeleng sendiri.
“Hai, susahlah macam ni…” Seri merungut sendiri.
“Tak apalah, dik. Nanti kita cuba usahakan apa yang patut. Nanti malam Along datang sini balik. Suruh Wawa siaplah beg dia. Nanti Along datang ambil lepas Isyak. Along nak pergi ambil Fitri kat sekolah. Nanti panjang pulak muncung anak saudara kamu tu. Balik dulu, mak. Assalamualaikum.” Encik Mazlan bersuara sebelum berlalu pergi.
******************************************************************************
“Wawa, cuba senyum sikit. Dari tadi Pak Teh tengok Wawa asyik termenung je. What’s wrong, dear?” soal Encik Hamdan sambil memandang wajah anak saudaranya yang monyok itu.
Adwa mengalih pandang pada bapa saudaranya itu. Lama sebelum dia melangkah ke hadapan dan memeluk erat tubuh lelaki itu. “Wawa minta maaf, Pak Teh. Wawa sepatutnya berterima kasih dengan Pak Teh dan Mak Teh sebab sudi bawak Wawa jalan-jalan sampai ke sini. Tapi Wawa tak boleh nak paksa diri Wawa untuk senyum. Hati Wawa sakit sangat, Pak Teh. Wawa rasa bersalah dengan Pak Teh, dengan Mak Teh. Wawa…” Adwa mengetapkan binirnya cuba menahan esakan.
“Wawa tak tahu nak cakap macam mana. Tapi Wawa minta maaf sangat-sangat pada Pak Teh.” Adwa memejam matanya erat-erat, cuba menahan air matanya dari jatuh. Namun empangannya pecah jua.
“Abang, Wawa makan jom.” Puan Nina menghampiri mereka. “Eh, Wawa? Kenapa ni?” soalnya pada Wawa yang sedang teresak-esak menangis dalam pelukan suaminya. “Wawa tak seronok ke datang sini? Wawa nak pergi tempat lain?” soal Puan Nina prihatin.
Encik Hamdan merenggangkan pelukannya. Dia mengesat air mata yag mengalir di pipi anak saudaranya itu. “Pak Teh faham apa yang Wawa rasa. Tapi, Wawa kena sabar. Ini semua ujian ALLAH untuk Wawa. Wawa eorang gadis yang berjiwa besar. Pak Teh dengan Mak Teh tahu Wawa kuat. Kami yakin Wawa mampu hadapi semua ni. Satu yang Wawa perlu tahu, Wawa tak sendiri. Wawa ada tok, tokwan, Mak Usu, Pak Long, Mak Long, Pak Teh, Mak Teh, dan seluruh keluarga untuk sokong Wawa. Wawa kena berani untuk melangkah. Kami semua akan sokong Wawa. And will always be there for you. Jangan simpan semuanya sendiri, ya Wawa?” Encik Hamdan memujuk.
Adwa mengangguk. “Terima kasih, Pak teh, Mak Teh…” Puan Nina mengangguk dan menggosok lembut kepala gadis itu. “Wawa pergi tukar baju kejap. Nanti Wawa turun makan.” Adwa berlari ke biliknya.
Puan Nina memandang wajah suaminya dengan perasaan yang berbaur. “Nina tak tahu macam mana Wawa nak hadapi semua benda ni sendiri abang. Dia pun gadis biasa je, kan?”
“Dia memang gadis biasa. Tapi, pengalaman dia dah jadikan dia seorang gadis yang luar biasa, Nina. Wawa is a girl who will never let out her feeling to someone else. Banyak benda yang dia akan simpan sendiri. Kita cuma boleh sokong dia. Dan doakan moga satu hari nanti Kak Ngah akan kembali dalam hidup dia. Itu je yang Wawa perlukan sebenarnya.” Encik Hamdan tersenyum nipis.
“Semoga jalan dia akan lebih mudah selepas ni ya, abang?” Puan Nina mengeluh perlahan.
“Insya-ALLAH. Kita kena yakin dengan janji ALLAH.”

bersambung... 

1 comment

ta start dari sini..ok done

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...