Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Saturday 26 January 2013

Bukan Pengganti - Episod 1


Penulis: Amienieya Yusof
Blog: http://mim-hasniyah.blogspot.com           

Dia bukan datang untuk menjadi pengganti, tetapi untuk melakar sebuah cerita baru.



           Nabil membelok masuk ke pekarangan rumahnya sebelum menghentikan keretanya di hadapan rumah tersebut. Lama dia berteleku di dalam kereta sebelum melangkah keluar. Dia sudah pasti perkara pertama yang akan diperkatakan oleh mamanya sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah sebentar lagi.
Nabil akhirnya melangkah keluar dan mencapai beg komputernya sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. “Assalamualaikum…”
“Waalaikumussalam.” Akma menoleh ke arah pintu. “Yeay! Ayah dah balik!” Terus dia berlari memeluk tubuh ayahnya itu. Nabil hanya tersenyum dan membalas pelukan anak gadisnya itu. Terasa hilang penatnya mendengar suara girang anak kesayangannya itu.
“Angah. Dah balik?” Kedengaran suara mamanya dari dapur.
Nabil mendukung Akma dan mereka sama-sama duduk di sofa. Puan Dina menghampiri dan duduk di sofa bertentangan. “Banyak kerja kat pejabat?” soalnya pada Nabil.
“Ada projek baru masuk. Tu yang banyak sikit kerja minggu ni.” Nabil menjawab.
“Mama nak cakap sikit ni.” Puan Dina memberi mukadimah. Nabil hanya mengangguk. Pastinya mamanya akan bercakap tentang Akma, tentang dirinya yang bekerja sehingga malam dan tentang anak-anak gadis sesiapa.
“Mama nak bawa Akma balik kampung esok.” Puan Dina memberitahu.
Nabil mengerut dahi. “Kenapa?” soalnya.
“Ada kenduri dekat rumah Mak Lang Limah kamu hujung minggu ni. Kenduri rumah kita dulu, mak lang kamu tu yang sibuk tolong kita. Mama pun nak balik tolong apa yang patut. Mama ingat nak bawa Akma sekali. Mama dah cakap dengan cikgu taska dia tadi. Cikgu dia dah setuju. Angah setuju tak?” soal Puan Dina.
“Oh, Hadi nak kahwin hujung minggu ni.” Nabil bersuara perlahan. Sepupunya yang muda dua tahun darinya itu akan emnamatkan zaman bujangnya hujung minggu ini. Maklumlah, sekarang kan musim cuti sekolah, maka musim kenduri kahwin jugalah.
“Kamu ni nak bagi ke tak, Angah oi? Mama cakap bukannya dia nak dengar. Dok berangan kot lain jugak.” Puan Dina menggeleng sendiri.
“Tapi, Angah ada kerja luar lah esok, ma. Lepas Angah balik kerja, Angah hantar mama balik. Angah pergi kerja dari sana jelah.” Nabil memberi cadangan.
“Tak payah, kamu pergi je kerja. Nanti Hadi singgah sini ambil mama sekali. Dia nak hantar barang balik rumah. Mama tak mahu ganggu kerja kamu. Nanti, Jumaat malam kamu baliklah.” Puan Dina segera menolak.
“Okeylah kalau macam tu. Angah naik dululah. Belum Isyak lagi ni. Nak mandi sekali.” Nabil meminta diri.
“Iyalah, nanti turun makan. Mama dah siapkan makanan.” Puan Dina bersuara pada Nabil yang berjalan naik ke tingkat atas.
“Okay.” Nabil menolak pintu biliknya dan duduk di atas katil. Dia memandang terus ke cermin dan jatuh pada bingkai gambar dia dan isterinya pada hari perkahwinan mereka lima tahun yang lalu. Nabil mengeluh seketika. Sudah hampir empat tahun dia hanya tinggal bersama-sama Akma. Mamanyalah yang sentiasa membantunya menguruskan keperluan anak tunggalnya itu ketika masih bayi sehingga kini.
Dahulu, dia meninggalkan Akma di rumah mamanya dan pulang ke rumah setiap hujung minggu. Sejak Akma berusia empat tahun, dia membawa Akma tinggal bersama-sama dengannya. Sejak abahnya meninggal dunia hampir enam bulan yang lalu, dia membawa mamanya tinggal bersama-samanya di sini.
Nabil akhirnya bangkit dan membersihkan dirinya sebelum menunaikan kewajipannya pada Yang Maha Esa. Kemudian, dia turun ke bawah untuk mengisi perutnya.
******************************************************************************
“Akma, jangan lari. Nanti jatuh.” Nabil menahan Akma yang sedang berlari mengelilingi khemah tetamu yang dipasang di hadapan rumah mak langnya itu. Seronok anak kecil itu melihat orang ramai yang datang ke kenduri tersebut.
Nabil berlari mendapatkan Akma yang sudah hampir dengan jalan raya dan mendukung anaknya itu. “Akma, kan ayah cakap jangan lari pergi jalan raya. Bahaya, kan?” Nabil mendukung Akma masuk ke dalam rumah. Dia membawa Akma ke ruang tamu dan duduk di tengah-tengah ruang tamu tersebut.
“Eh, tak apa. Saya boleh duduk kat sini je.” Kedengaran satu suara membelakangi Nabil. Keras seketika tubuhnya. Suara itu, bukankah…?
“Ibu!” Tiba-tiba sahaja Akma menjerit. Nabil segera menoleh namun Akma terlebih dahulu berlari ke arah pemilik suara tersebut dan memeluk tubuh wanita tersebut.
“Ibu?” Wanita itu juga kelihatan terkejut namun dia tetap membalas pelukan Akma.
Sekali pandang, memang wajah itu mirip dengan wajah arwah isterinya, Balqis. Namun wajah isterinya lebih bujur dan mata isterinya lebih bundar. Wanita di hadapannya ini pulah berwajah bulat dan bermata sepet. Warna kulit sama dan yang membuatkan Akma berlari pada wanita itu adalah baju kurung yang tersarung di tubuh wanita itu. Baju yang sama dengan baju yang dipakai oleh Balqis ketika majlis graduasinya. Gambar Balqis memakai baju kurung tersebut tergantung di dalam bilik Akma.
Akma memuncungkan mulutnya. “Kakak ni bukan ibu Akma?” soal Akma.
“Nama adik Akma, ya?” soal wanita tersebut.
Akma mengangguk. “Bukan, kakak bukan ibu Akma. Mana ibu Akma? Dekat dapur ke? Nak kakak tolong carikan?” soal wanita tersebut lagi.
“Tak ada kat dapur. Ayah cakap ibu jauh. Dapur dekat je?” Akma membalas dengan senyuman.
“Jauh kat mana?” soal wanita tersebut.
“Jauh dekat sana.” Akma menunjuk ke atas langit. “Ayah cakap ibu tak ada. Ibu pergi tempat yang cantik sangat. Dekat syurga. Sebab ibu baik.” Petah anak kecil itu berkata-kata.
Terdiam seketika mereka di situ. “Akma datang dengan siapa?” soal wanita tersebut.
“Dengan ayah. Ayah suruh Akma masuk.” Akma menoleh namun ayahnya sudah tiada di situ.
“Mana ayah Akma?” soal wanita itu.
“Akma?” Satu suara menegur. “Kat sini rupanya. Acu ingat kat mana tadi. Siapa ni?” soal Nabihah, adik Nabil.
“Kakak.” Akma memberitahu.
“Mana Akma kenal kakak?” soal nabihah.
“Kakak pakai baju mama dalam gambar dekat bilik Akma.” Akma memberitahu. Najihah dan wanita itu ketawa.
“Maaflah, anak saudara saya ni memang banyak cakapya. Kawan kak Dhiya ya?” soal Najihah. Dhiya = isteri Hadi = pengantin hari ini.
“Ya, Alia.” Wanita itu memperkenalkan dirinya.
“Alia.” Akma mengulang apa yang didengarinya.
“Bukan Alia, sayang. Kak Alia.” Najihah membetulkan.
“Kak Alia.” Akma ketawa kecil.
“Comelnya…” Alia mencubit pipi anak kecil itu.
“Akma, jom makan? Maktok dah bawak masuk nasi. Ayah Akma tu tak masuk-masuk pulak. Saya bawak Akma pergi makan dulu, ya.” Najihah meminta diri. Alia dan rakan-rakannya mengangguk.
Najihah mendukung Akma menuju ke dapur. “Lah, Angah kat sini? Bukan mama suruh pergi cari Akma ke?” soal Najihah pada Nabil yang sedang bersila di ruang dapur itu.
“Angah nampak Akma dengan tamu tadi. Adik pun ada sekali, Angah teruslah masuk dapur.” Nabil membela dirinya.
“Eii, pemalas. Pergilah makan kat luar tu. Ni untuk adik dengan Akma jelah. Orang lelaki makan kat luar.” Najihah menolak tangan abangnya yang mencapai senduk di dalam pingan berisi nasi.
“Eii, kedekutlah adik ni. Yelah, Angah makan kat luar. Nanti balik bawak Akma sekali. Jangan bawak diri je.” Nabil berpesan.
“Ceh, orang tahulah. Dia pun sama nak pesan-pesan kat orang konon.” Najihah mencebik.
“Tak samalah. Angah lelaki, adik perempuan.” Nabil mengusik adiknya itu. Najihah menjelirkan lidahnya tanda tidak berpuas hati. Nabil hanya ketawa dan berlalu keluar dari rumah. Dia melalui ruang tamu dan sempat menjeling wanita yang dipanggil ‘ibu’ oleh Akma sebentar tadi. Seketika kemudian, dia hanya menggeleng dan berlalu pergi tanpa menyedari perbuatannya diperhatikan mamanya dari jauh.
******************************************************************************
“Mama.” Nabil duduk di meja makan.
“Angah, mama nak cakap sikit.” Puan Dina bersuara sambil meletakkan pinggan berisi karipap di atas meja.
“Ada apa, ma?’ soal Nabil sambil mencapai karipap di atas meja makan.
“Mama nak tinggal dengan Akma kat sini.” Puan Dina memberitahu.
“Hah?” Tersedak Nabil seketika. Dia segera mencapai teh yang dihidangkan mamanya di atas meja. “Ma, Akma kena sekolahlah, ma.” Nabil terus saha menolak cadangan mamanya itu.
“Sekolah kat sini pun boleh, Ngah. Mama susah hatilah nak tinggalkan kamu dengan Akma. Kalau kamu kerja sampai malam, Akma ni kena tunggu dekat taska sampai malam. Kamu tak kesian ke dengan dia? Nanti dia dah besar, takkan kamu nak tinggalkan dia dekat taska jugak? Takpun kamu nak tinggalkan dia kat rumah sorang-sorang?” Puan Dina memberi nasihat.
“Kenapa pulak, ma?” soal Nabil.
“Mama dah penat duduk rumah kamu, Ngah. Mama tak tahu nak buat apa. Mama balik sini ada jugak teman nak bersembang, nak bekerja. Kamu tu pergi kerja pagi, malam baru balik. Akma pun petang baru balik dari taska. Baik tinggal dengan mama je, Ngah. Simpan duit belanja taska Akma tu. Boleh buat belanja sekolah Akma bila dia dah besar nanti.” Puan Dina memberi jawapan.
“Tak apalah ma, Akma dah biasa macam tu. Biar dia rasa susah sikit. Tak boleh manjakan dia sangat.” Nabil membalas.
“Angah, bukan itu caranya kamu mengajar anak. Akma tu dahlah ibunya tak ada. Kamu pulak asyik kerja je. Dia baru empat tahun. Takkan kamu nak biar dia macam tu je. Kurang-kurang mama ni boleh tengok-tengokkan anak kamu tu.” Puan Dina menggeleng sendiri.
“Mama, Angah tak rasa macam tu pun. Akma pun okay je.” Nabil masih berdegil.
“Sekarang memanglah okay. Nanti sepuluh tahun lagi, kamu tahu ke apa akan jadi? Kamu boleh baca masa depan? Berapa ramai budak-budak sekarang jadi macam-macam sebab kurang kasih sayang. Mama nak tolong kamu elakkan. Itu pun kamu nak degil, nak ikut cara kamu jugak. Mama suruh kamu kahwin pun kamu tak mahu. Suka hati kamulah Angah. Mama dah malas nak cakap.” Puan Dina akhirnya mengalah. Dia sudah penat memberi nasihat pada anak lelakinya itu namun semuanya bagai mencurah air ke daun keladi.
Nabil ditinggalkan sendirian di dapur. Nabil hanya mengeluh sendiri. Mungkin benar kata-kata mamanya. Dia membiarkan Akma membesar sendiri. Walaupun dia yakin Akma memahami kenapa dia membanting tulang bekerja namun dia tidak boleh membaca masa hadapan. Dia juga tidak mahu mempertaruhkan masa hadapannya anak tunggal kesayangannya itu. Mungkin dia patut menimbangkan kata-kata mamanya.
******************************************************************************
“Lepas ni Alia pulak kahwin.” Dhiya ketawa sambil menghirup minumannya.
“Ish, tak sopan kau ni. Dah jadi bini orang punlah. Cuba ketawa elok-elok sikit.” Nadia menegur sambil menepuk bahu Dhiya yang ketawa berdekah-dekah itu.
“Ala, rilekslah. Kena ubah slow-slow. Kalau tak brek, nanti accident.” Dhiya membalas dengan senyuman.
“Suka cakap bahasa orang tak fahamlah kau ni, Dhiya.” Nadia menggeleng sendiri sebelum menoleh pada Alia yang masih membisu sejak tadi. “Macam mana? Seronok pergi makan kenduri rumah husband Dhiya?”
“Seronoklah. Kaulah, Dhiya. Bukan nak tunggu aku balik Malaysia dulu. Sibuk sangat nak kahwin. Nasib baik rumah husband dia tu dekat dengan rumah aku. Kalau tak, memang kempunanlah aku nak tengok kau pakai baju pengantin.” Alia mencebik.
“Janganlah marah. Itu je tarikh yang cantik. 10-10-10. Nak tunggu kau balik, hilanglah tarikh cantik aku. At least kau makan jugak kan nasi minyak aku.” Dhiya memujuk.
“Aku nak pilih tarikh kahwin aku time kau dalam pantang. Padan muka kau.” Alia masih tidak berpuas hati.
“Ala, janganlah… Aku pun nak tengok kawan aku ni kahwin jugak. Jangan kahwin dengan laki orang sudah.” Dhiya ketawa kecil.
“Apa salahnya. Jodoh bukan kita tahu, kan?” Nadia berjenaka sebelum kembali serius. “So, macam mana kerja? Kau still kerja kat situ ke lepas dah ada MA?”
“Tak, aku pindah bahagian lain. Tak ada jawatan aku kat situ. So, aku kena pergi headquarters.” Alia memberitahu.
Headquarters? Kat mana?” soal Dhiya.
Penanglah. Kat area Bayan Lepas.” Alia memberitahu.
“Bertambahlah kerja kau nak ulang-alik naik jambatan hari-hari ya?” Dhiya mengusik.
“Tak apalah. Gaji pun naik, bolehlah buat bayar tambang naik Penang Bridge tu hari-hari. Kejap je. Lepas tu, headquarters pindah ke Bukit Mertajam. Kat area Bandar PERDA. Dalam dua tahu lagi kot. Hah, tak sabarnya aku nak pindah. Belum masuk kerja lagi, aku dah boleh baying kesesakan lalu lintas kat jambatan tu tiap-tiap hari.” Alia membalas.
“Sabar jelah, Alia. Kau nak pindah duduk rumah sewa aku tak? Senang sikit. Aku pun nak pindah dah minggu depan. Nafiz dah cari rumah baru. Rumah tu ada Lia dengan Ifa je. Kau boleh ganti tempat aku.” Nadia menawarkan?
“Boleh ke?” Alia bersuara teruja. Namun senyuman layu seketika kemudian. “Aku dah bayar sewalah sampai hujung bulan depan.”
“Alah, tak apalah. Aku bukannya nak kahwin bulan depan pun. Tiga bulan lagi kot.” Nadia ketawa kecil.
“Cara kau cakap macam nak pindah terus je?” Alia memuncungkan mulutnya.
“Kalau kau masuk pun, ada je bilik satu lagi. Lagipun rumah tu kena bayar bil je. Tak payah bayar sewa pun.” Nadia menerangkan.
“Hah? Tak payah bayar sewa? Kenapa?” soal Alia ingin tahu.
“Sebab rumah tu under nama Ifa. Ifa ajak kitorang duduk sekali sebab dia tak nak duduk sorang-sorang. Ada empat bilik. Tapi next year lepas dia kahwin, kenalah bayar sewa. Tapi by that time aku rasa kau dengan Lia dah kahwin pun.” Nadia ketawa kecil.
“Mana kau tahu? Next year tu sembilan bulan je lagi tau.” Dhiya mencebik.
“Aku tak tahulah. Tapi Ifa belum confirm lagi bila dia nak bertunang. Tunang dia pun tengah buat MA kat Aussie. So, sebelum kena bayar sewa, baik kau cari boyfriend dan kahwin. Boleh Ifa guna rumah tu jadi rumah sewa. Tak payahlah dia mintak sewa kat korang.” Nadia memblas.
“Okaylah. Lagi dua bulan aku pindah. Lepas tu aku suruh mak aku carikan boyfriend, bolehlah aku kahwin.” Alia memberi jawapan senang.
“Apasal mak kau pulak yang kena carikan boyfriend? Cari sendirilah.” Nadia menampar lengan rakannya itu.
“Itulah yang susahnya. Aku malaslah.” Alia menjawab.
“Kau kena kahwin jugak. Takkan kau nak membujang sampai ke tua kot? Nanti dah tua tak ada siapa nak jaga, kau nak tinggal kat rumah orang-orang tua?” Dhiya sengaja mengugut.
“Tak adalah sampai macam tu. Kita muda lagi apa.” Alia menjawab senang.
“Muda apanya. Umur kau bukannya 17. Kau dah 27 tau!” Nadia mengerutkan dahinya.
Standard apa. Abang aku kahwin umur 30, selamba je.” Alia masih selamba menjawab.
“Kau ni, lelaki lain. Perempuan ni kurang laku tau bila usia dah bertambah.” Nadia mencebik.
“Laku ke tak laku, tu kerja Tuhan. Jodoh aku kat tangan ALLAH. Bila-bila ALLAH tulis kata aku kahwin, aku kahwinlah. Kalau dah ditakdirkan aku tak kahwin aku nak buat macam mana lagi?” Alia masih dalam mood selamba.
“Kita ni kenalah berusaha cik Alia oii. Ikut suka kaulah.” Nadia hanya menggeleng manakala Dhiya hanya tersenyum.

******************************************************************************
bersambung...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...