Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Wednesday 19 December 2012

pemburu





Niko berlari agak perlahan waktu itu. sambil tangannya sekejap-sekejap memegang lutut yang sudah pecah kerana luka yang agak dalam. Sambil menahan sakit yang teramat, Niko terjelepuk jatuh bilamana kakinya tersadung batu sebesar empat penumbuk. Sakit lutut yang tadinya terasa perit, kini bertambah-tambah pula pedihnya. Darah merah hangat mengalir perlahan membuatkan Niko jadi tidak keruan. Itu belum lagi bengkak dan lebam-lebam  yang memenuhi keseluruhan tubuhnya. Ada lubang sebesar di pangkal pehanya, tidak pasti lubang apa. Apakah lubang itu adalah lubang kesan tembakan yang diterimanya sebentar tadi? Dia sendiri semakin keliru.

Iya memang benar tadi ada kejadian tembak-menembak di dalam hutan. Dia sendiri tidak mengerti, bagaimana kejadian tembak-menembak itu boleh berlaku. Setahu dirinya, kawasan hutan itu adalah kawasan hutan terpelihara. Kawasan di mana tempat untuk pelancong menjalankan kegiatan riadah. Sebab itulah, banyak kawasan tapak khemah yang terdapat di kawasan itu. otaknya mula ligat berputar memainkan episod kejadian yang berlaku seawal satu jam yang lalu. Episode dasyat di mana kedua biji matanya melihat sendiri bagaimana sahabat-sahabatnya ditembak satu persatu tanpa ada belas kasihan.

Najib, mati mengejut bila peluru tenggelam di dadanya, manakala Rocky menggelepar jatuh ke tanah setelah peluru yang entah dari mana menusuk ke otaknya. Tidak kurang hebatnya juga dengan Nadia, dia terkulai di perbaringannya bilamana peluru pantas itu mencium batang tengkuknya. Semuanya jadi kelam kabut. Peluru datang dari arah yang berbeza, seperti ada puluhan pemburu yang sedang bermain polis pencuri di keliling mereka. Kerana terlalu terkejut dengan keadaan itu, Niko mengambil langkah untuk melarikan diri, ketika itulah, peluru sesat menebuk pangkal pehanya. Dia menjerit sekuat hati sehingga menyebabkan hutan kelam itu menjadi bising dengan bunyi unggas. Saat itulah dia merasakan, malam itu mungkin akan menjadi malam penamat buat dirinya. Ada titisan hangat yang mengalir di pipinya. Dia menangis ketakutan.

“Hutan Megong…ish, bukan aku dengar situ ada benda buruk ke pernah berlaku?” soal Niko.

“Benda buruk…benda buruk apanya, aku tak ada dengar cerita apa pun,” sangkal Najib yang beriya-iya mahu menghabiskan cuti semestanya di dalam persekitaran flora dan fauna. Kerana takut bersendiri, dia mengajak Niko, Rocky dan Nadia untuk turut serta. Alasanya, biar riuh sekampung, sedangkan sengaja mahu menutup malu untuk pergi bersendiri.

“Iyalah, aku pernah dengar cerita, semua ranjer yang pernah bertugas dekat situ, semua mati mengejut. Sebab tu lah dia orang nak tutup tempat tu.” Niko menceritakan.

Nadia dan Rocky hanya memandang sesama sendiri.

“Ish, kau ni biar betul Niko…naik pulak bulu roma aku ni,” Nadia sudah mula merasa tidak sedap hati.

“Betulll, takkan aku nak tipu pulak,” tegas Niko dengan suara yang tinggi.

“Alah, tu cerita orang je, kalau betul dia orang nak tutup tempat tu. Biarlah kita jadi orang yang terakhir pergi dekat situ. Become a lagend. Kalau mati pun, kisah kita ni akan orang kenang sampai bila-bila ..silap-silap masuk buku sejarah…kan best tu,” Najib berseloroh sambil tertawa besar.

Saat itulah, Niko meraung kuat…tangisannya bergegar di segenap hutan. Dia tidak mahu mati, dia tidak mahu menjadi bahan cerita, dia juga tidak mahu menjadi lagenda maut yang disampaikan dari seorang ke seorang buat berdekad lamanya. Dia mahu hidup, masih banyak lagi perkara yang belum dikecapinya di dunia ini. Dia tersedu meratapi dirinya.

Pada ketika itulah, semak yang ada di depan matanya mula bergoyang kencang. Niko yang masih berada di dalam keadaan terperanjat mula mengesot cuba menyelamatkan diri. Ada pohon-pohon kecil dibelakangnya. Dia mengambil langkah untuk bersembunyi sementara di situ, melihat apa yang menyebabkan sahabat-sahabatnya terbunuh. Apa benarkah ada misteri yang sedang berlaku di dalam hutan itu, ataupun ia hanyalah bayangan sahaja. Dia berdoa, berharap yang kejadian itu akan berakhir dengan segera. Mulutnya tidak putus-putus menyebut nama Tuhan. Matanya pula terkatup rapat, tidak sanggup untuk melihat apa yang akan keluar dari semak samun yang ada di depannya itu.

Tiba-tiba tubuhnya mula menjadi dingin. Bulu tengkuknya terpacak meremang. Rasa tidak sedap hati ditambah dengan perit sakit lututnya membuatkan dia tidak senang untuk berpejam lama. Waktu itu, kedua bola matanya terpaku memandang tiga cahaya yang sedang berlegar-legar di hadapannya. Cahaya-cahaya itu seperti sedang mencai-cari sesuatu. Mata Niko yang kabur dibasahi darah hangat dilap dengan telapak tangan, hatinya memberontak meminta dia untuk terus melihat. Saat dan ketika itulah, jantungnya berdegup kencang dan nafasnya bagaikan terhenti.

Dihadapannya kini berdiri tiga cahaya yang lengkap berbaju putih. Di tangan cahaya-cahaya itu masing-masing  memegang senapang patah yang masih berasap muncungnya. Cahaya-cahaya itu kelihatan bersahaja dengan wajah yang tidak kelihatan. Kerana terlalu mahu melihat, Niko tidak sedar yang kakinya terpijak akan  ranting pokok . itu menyebabkan cahaya-cahaya tadi mula mencari-cari kembali kelibat dirinya. Dengan menahan sakit yang masih berbisa, dia terus cuba untuk berdiri dan melarikan diri, malangnya dia terjelepuk jatuh ke tanah kembali. Dia sudah tidak mampu lagi, dia sudah tidak tertahan untuk meneruskan persembunyiannya. Ketika itulah tiga cahaya tadi mendekati dirinya. Nafas Niko turun naik, lansung tidak memandang.

“Kau nak pergi mana Niko?” Tanya suara itu.

Niko langsung berdiam. Mulutnya terasa berat benar.

“Ini akulah Najib, kawan kau,” suara itu memperkenalkan dirinya sebagai Najib.

Saat itulah kedua bola mata Niko melihat wajah-wajah temannya berdiri di hadapannya. Mereka tersenyum girang dan itu membuatkan dia menjadi keliru. Apakah semua ini? Bisik hatinya. Mereka permainkan aku kah? Soal hatinya lagi.

“Kau…kau…” Niko tersekat-sekat suaranya. Mereka yang masih berdiri di hadapannya hanya terus tersenyum. Masing-masing memandang sesama sendiri.

“Kau takut?” Tanya Nadia.

“Aku..aku..kau…” suara Niko masih terketar-ketar. Tidak pasti apa yang harus diucapkan, lega ataupun sebaliknya. Ini kerana otaknya tidak langsung dapat mentafsir akan kejadian yang berlaku tadi. Dia terasa seperti mimpi. Jika benar ini mimpi, bangunkanlah aku wahai mata. Jeritnya di dalam hati.

“Kami kawan kaulah…” terang Rocky.

“Kawan…kawan aku semua dah mati…” tiba-tiba saja dia berkata begitu.

“Kalau begitu kami ni siapa?” Tanya Najib lagi. Kali ini senyumannya terukir semakin lebar, lebar, terus melebar sehingga mencecah ke dua cuping telinganya. Mata Niko terbeliak melihat, ternyatalah mereka bukan sahabat-sahabatnya. Sahabat-sahabatnya telah mati.

“Siapa kau!?” jerit Niko ketakutan.

“Kami….”mereka bersuara perlahan sambil mendekatkan wajah mereka ke wajah Niko. Niko menelan liur, terasa dingin benar bila hidung mereka bersentuhan . ada kegelapan di bola mata itu. kegelapan yang sedikit-sedikit meresap kulit wajahnya.

“Pekabooo…”

Wajah Najib, Rocky dan Nadia serta merta berubah menjadi hitam.Bola mata mereka yang tadinya gelap dan tidak bernyawa berubah pula menjadi merah saga. Begitu juga mulut mereka yang terbuka luas sehingga menampakkan gigi tajam umpama pisau…mereka tertawa gembira.

“Kami pemburu dan kami lapar…” suara mereka berdengung ditiup angin. Niko sudah terkaku tanpa suara, lansung lidahnya keras membeku. Mata yang terbeliak masih sama terpana.

“laparkan roh segar seperti kau!!!”

Satu tembakan menembusi jantung Niko. Serta merta dia tumbang tanpa sempat berkata apa.

Malam itu, mereka melahap roh Niko tanpa ada yang tinggal, roh ketakutan yang paling sedap dan segar pernah mereka rasa. Yang tinggal hanyalah jasad Niko yang terbeliak memandang langit gelap yang semakin kabur di pandangan matanya.

2 comments

09:51

cam best...huhuhu

cool.. =)

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...