Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Friday 16 November 2012

Metafora Cinta #5


Raudhah termenung. Berangan mungkin juga. Mengenangkan kejadian yang berlaku tengahari tadi. Mukanya jelas kelihatan kusut. Kusut kerana terjerat dengan mamat yang tak reti bahasa. Tidak dinafikan, pada awal dahulu, hatinya sedikit berbunga. Namun peristiwa di Giant tempoh hari membuta hatinya sakit dan meluat. Dia benci.

“ Mengelamun. Ada masalah ke cik kak?” Tegur Sabridah di muka pintu. Raudhah yang tidak menyedari kehadiran Sabridah tersentak.

“ Tak ada apalah.” Jawab Raudhah lesu.

“ Tipulah. Muka kau terang-terang bagitahu aku yang kau ada masalah. Apadia? Ceritalah. Mungkin aku boleh tolong.” Pujuk Sabridah sambil meletakkan secawan Nescafe panas di atas meja. Untuk Raudhah.

“ Entahlah Sab, aku tak tahu nak cerita macam mana.”

“ Minum dulu. Tarik nafas dalam-dalam, lepas itu kau cerita.”

Raudhah menurut saranan Sabridah. Nescafe panas yang disediakan di hirup perlahan. Kemuadian dia menceritakan masalahnya kepada Sabridah dari A hingga Z. Dari kejadian beberapa bulan dulu hinggalah peristiwa hari ini. Sedikit tidak ditinggalkan.

Sabridah yang mendengar keseluruhan cerita Raudhah terdiam.

"Jadi, kau betul-betul pasti budak itu memang anak dia?” Tanya Sabridah.

" Entah, err...ya kot.”

" Kot? Jadi, kau main serkap jarang sajalah ni ye?”  Tembak Sabridah. Raudhah hanya tersengih.

"Tapi dari cerita kau dan nada penceritaan kau, aku dapat simpulkan sesuatu.” Sambung Sabridah dengan senyuman nakal.

"Apadia?” Raudhah tidak sabar.

"Aku rasa, kau suka mamat tu kan? Dari nada kau cerita, nampak sangat kau kecewa dan sedih bila nampak mamat sengal kau tu dengan anak tak pasti dia tu kan?”

"Sab!!!!”

Sabridah ketawa, manakala Raudhah sudah merah padam mukanya.


****

Sabridah keluar dari dapur. Makan malam sudah selesai disediakan. Dicari si suami yang dari tadi diam khusyuk menonton berita di televisyen.

"Abang.” Panggil Sabridah sambil duduk di sisi suaminya.

"Ya, ada apa yang?” Sahut Aaron. Mata yang dari tadi terfokus ke arah televisyen bertukar sasaran.

"Jom mengumpat.” Usik Sabridah

"Hah?”

"Haha, tak adalah. Saya ada cerita nak bagitahu abang ni. Pasal Raudhah.” Sabridah menahan ketawa melihat muka suami yang di usiknya.

"Oh, usik abang ye? Babap kang. Cerita apa?” Balas Aaron sambil ketawa kecil.

Sabridah mula ketawa besar. Lalu, dia menceritakan kisah Raudhah dengan lelaki misteri yang selalu mengejarnya. Sabridah yang memang handal bab bercerita, menceritakan dari mula sampai akhir perihal yang dialami Raudhah. Aaron pula, khusyuk mendengar melayan si isteri bercerita. Sesekali dia ada menyampuk.

"Macam pelik je kes si Raudhah ni, yang.” Komen Aaron usai isterinya bercerita.

"Pelik? Memang pelik bang. Orang yang tak kenal tiba-tiba datang kejar kita. Seram. Entah-entah orang gila ke apa.” Balas Sabridah.

"Bukan, abang rasa pelik. Sebab macam pernah dengar cerita ini. Tapi versi lain lah.” Sambung Aaron sambil berkerut dahi.

"Hah? Versi lain? Tak fahamlah saya bang. Cuba abang cerita betul-betul.” Sabridah tak sabar ingin tahu. Maka, Aaron mula bercerita. Kisah mengenai Hadi dan perbualan mereka.

" Apa? Biar betul ni bang.” Sabridah terkejut.

"Betul, itulah yang Hadi cerita pada abang.”

"Astafirullah ’alazhim.” Sabridah beristighfar dan mula ketawa terbahak-bahak selepas itu. Aaron, suaminya juga ikut ketawa. Dalam kepala Sabridah, ada rancangan yang bakal dilaksanakan.



***
"Di, esok malam kau free tak?” Tanya Aaron di muka pintu bilik Hadi. Hadi yang sedang menyemak tugasan pelajar-pelajarnya tersentak.

"Esok hari apa?” Soalan berbalas soalan.

"Khamis.”

"Oh, kalau begitu, aku free lah. Kenapa pek?” Jawab Hadi sambil tersengih. Apek, nama panggilan manja Hadi kepada Aaron dan mereka selalu bertekak mengenai itu kerana Aaron tidak menyukainya. Kata Aaron, panggilan itu membuatkan dia terbayangkan dia seperti apek menjual sayur.

"Apek wak lu. Kalau macam tu, malam esok lepas isyak kau datang rumah aku. Aku buat makan-makan sikit.” Terang Aaron. Waktu itu dia malas melayan usikan Hadi. Dalam kepalanya sibuk memikirkan mengenai persiapan malam esok.

"Makan-makan? Okey. InsyaAllah esok malam aku sampai. Kenduri apa kau buat ni? ”
Tanya Hadi lagi.

"Err, aku buat kenduri doa selamat sikit. Tak jemput ramai orang pun, orang-orang masjid je. Kau jangan lupa datang tau.” Terang Aaron.

"InsyaAllah.” Jawab Hadi.

"Okeylah kalau macam tu. Aku ada kelas ni. Blah dulu. Jumpa esok.” Kata Aaron sambil menutup pintu bilik Hadi.

"Eh, lupa pulak aku, jemput mak kau sekali.” Pintu bilik yang tertutup terbuka sekali lagi bila Aaron berpatah balik menyampaikan pesanan.

Hadi hanya mengangguk sambil menghantar rakannya itu dengan pandangan mata di sebalik dinding lutsinar biliknya yang tidak berlangsir seperti bilik-bilik pensyarah lain. Langsir sudah dibeli, cuma dia tiada masa untuk memasangnya. Permintaan Mak Bedah, cleaner pejabat untuk menolongnya memasang langsir di tolak secara baik. Tak mahu menyusahkan katanya. Setelah beberapa saat, kerja-kerja menyemak tugasan pelajar-pelajarnya yang terhenti di sambung kembali.


***

Deringan lagu dari telefon bimbit Sabridah kedengaran. Sabridah yang sedang tekun melakukan kerja-kerjanya terhenti. Telefon di capai. Dia tersenyum.

"Hello, Assalamualaikum bang.”

"Waalaikumussalam yang. Macamana? Beres?” Kedengaran suara suaminya di hujung talian.

"Semuanya beres bang.” Jawab Sabridah sambil tergelak kecil. Suaminya juga turut tergelak.

Selepas beberapa minit berbual, talian di tamatkan. Sabridah kembali memandang skrin komputernya sambil tersenyum.

'Mesti jadi!’ Bisik hatinya bersemangat.


Keesokan harinya

Bunyi loceng pintu utama rumah Sabridah kedengaran. Jam menunjukkan pukul 8 malam. Raudhah yang ayu berbaju kurung moden sedikit berdebar. Kenapa, dia sendiri tidak tahu.

Pintu rumah dibuka. Semerbak bau masakan dari dalam rumah menari-nari di hujung hidung Raudhah. Dia yang dari tengahari belum menjamah apa-apa makanan tergoda dengan bau masakan.

"Wah, awal kau sampai.” Tegur Sabridah ramah sambil menjemput Raudhah masuk. Raudhah hanya tersengih.

"Saja datang awal, boleh jugak tolong mana yang patut.” Jawab Raudhah.

"Amboi, bagus betul anak dara ni. Kalau bakal mak mentua dengar, mesti...”

"Eh, eh kau ni. Merepek je. Aku Ikhlas nak datang tolong ni.” Potong Raudhah cepat-cepat. Berdebar pula dia bila mendengar kata-kata Sabridah. Dia sendiri juga tidak tahu mengapa hatinya berdebar-debar sejak petang tadi. Seolah-olah ada perkara bakal terjadi.

"Aku main-main je. Jomlah, kata nak tolong.” Jawab Sabridah sambil tersenyum.

Di dapur, kelihatan seorang wanita separuh abad sedang memotong sayur-sayuran. Sabridah menarik tangan Raudhah sambil mendekati wanita itu. Raudhah menyangka wanita itu adalah ibu kepada Sabridah kerana wanita itu membelakangi mereka.

"Makcik, mari saya perkenalkan inilah kawan saya, Raudhah. Raudhah, ini Makcik Maimun, mak kawan aku.” Panggil Sabridah lalu memperkenalkan kedua mereka. Raudhah yang sedikit terkedu menyalami wanita itu penuh hormat.

"Apa kahabar Makcik.” Tegur Raudhah sambil bersalaman. Senyuman dilemparkan pada wanita tersebut. Makcik Maimun menyambut huluran salaman tersebut lantas dia merangkul Raudhah ke dalam pelukannya. Pipi licin Raudhah di cium dan Raudhah membalasnya dengan rasa sedikit terkejut namun di kawal supaya tidak terlalu ketara. Di belakang, Sabridah tersenyum penuh makna sambil diperhatikan oleh Aaron yang sedang mendukung anak mereka yang turut tersenyum sama.

"Makcik baik je Raudhah. Datang seorang saja ke?” Balas makcik Maimun. Tersenyum memandang gadis itu. Berkenan hatinya melihat Raudhah.

"Saya datang seorang je makcik. Mana anak makcik? Sabridah cakap, makcik mak kawan dia.” Tanya Raudhah. Matanya melilau mencari ’kawan’ yang di maksudkan.

"Oh, anak makcik keluar sekejap. Si Aaron mintak tolong belikan barang. Terpaksa mintak tolong anak makcik tu sebab Misya meragam. Nak tinggalkan dengan Sab takut kerja tak siap.

 "Iye ke. Kenapa tak pesan pada aku saja Sab, boleh aku tolong belikan dalam perjalanan tadi.” Kata Raudhah. Sabridah yang sedang mengelap pinggan tersentak.

"Err..tak apa. Aku taknak menyusahkan kau.” Jawab Sabridah. Makcik Maimun hanya tersenyum.

"Tak apalah. Kejap lagi baliklah anak makcik tu.” Potong makcik Maimun.

"Eh, kau kata buat doa selamat, kenapa macam sikit saja makanan? Macam makan 5 6 orang je?” Tanya Raudhah pada Sabridah. Makcik Maimun yang sedang memotong sayur tergelak kecil. Raudhah pelik.

"Nantilah aku cerita ye.” Sabridah mengelak. Dia keluar ke ruang makan sambil membawa pinggan yang sudah di lap.

"Nak, boleh tolong makcik goreng sayur ni? Makcik nak solat isyak sekejap. Dah masuk waktu ni.” Pinta makcik Maimun. Sabridah membalasnya sambil menganggukkan kepalanya walau hatinya digaru perasaan musykil dan pelik.

***

Sayur yang sudah siap digoreng di senduk ke dalam mangkuk. Cermat dan teliti kerjanya. Sesudah itu, di hidangkan semua lauk pauk yang siap dimasak ke atas meja. Sabridah ketika itu sedang membancuh minuman. Aaron pula sedang leka melayan anak.

"Eh, kawan kau tu tak sampai-sampai lagi. Kau suruh dia beli apa Sab?” Tanya Raudhah.

"Kejap lagi sampailah kot. Nanti aku kenalkan kau dengan dia ye.” Jawab Sabridah. Raudhah hanya mengangguk dan tersenyum. Makcik Maimun juga belum keluar dari bilik. Mungkin sedang bersiap.

"Cantik baju kau. Baju baru ye? Tak pernah nampak pun kau pakai.” Sabridah cuba membuka topik perbualan lain.

"Taklah, baju lama. Cuma aku tak pakai sebab haritu aku cuba pakai nampak macam ketat. Sekarang muat pulak. Aku dah kurus kot.” Jawab Raudhah sambil tergelak.

"Amboi, nak cakap kau makin slim lah ni ye? Kau tu mana tak makin kurusnya, bila kerja, makan pun lupa.” Tambah Sabridah. Gelak ketawa mereka memeriahkan suasana dapur.

"Apa yang suka sangat ni? Dari luar makcik dengar ketawa korang.” Tegur makcik Maimun tersenyum memandang mereka.

"Tak ada apa makcik, ni si Raudhah cakap kat saya, dia tak sabar nak kahwin.” Balas Sabridah sambil ketawa. Raudhah yang terkejut mendengar kata-kata kawannya mencubit lengan Sabridah.

"Mana ada makcik, Sabridah ni yang pandai-pandai reka cerita. Saya tak ada pun cakap begitu.” Adu Raudhah. Mukanya merah padam.

"Ye? Raudhah dah ada calon ke?” Sayangnya makcik Maimun juga ikut sama mengusik.

"Ish, tak adalah makcik. Saya nak kahwin dengan siapa? Calon pun tak ada.” Raudhah sudah malu di usik. Melihat Raudhah bagaikan cacing kepanasan menambah lagi geli hati Sabridah dan makcik Maimun.

"Tak apa, nanti adalah calonnya, kan Sab?” Makcik Maimun terus mengusik.

"Ye lah makcik. Tunggu sajalah kan.” Balas Sabridah. Raudhah yang merah mukanya menahan malu tidak sempat membalas usikan bila loceng pintu rumah berbunyi. Sabridah keluar untuk membuka pintu. Sempat di pesannya pada Raudhah untuk membawa keluar gelas minuman.

"Hah, dah balik pun. Ada tak yang aku pesan tu?” Kedengaran suara Sabridah di luar. Raudhah mengangkat dulang berisi gelas keluar ke ruang makan.

"Ada, jangan risau. Tapi yang aku pelik, kenapa kena ada benda ni?” Satu suara garau membalasnya. Raudhah tersentak kerana dia seakan-akan mengenali suara itu. Rasa ingin tahu membawanya dia ke ruang tamu.

"Eh, awak...” Tegur suara itu apabila terpandang Raudhah yang seakan terkaku.

"Awak? Apa yang awak buat kat sini?” Tanya Raudhah. Debar hatinya semakin memuncak.



"Saya...” Lelaki itu juga seakan kelu untuk membalas pertanyaan Raudhah. Dia memandang Sabridah dan Aaron yang sedang menahan ketawa.

"Sab, inilah mamat yang....” Adu Raudhah. Dia masih dalam keadaan terkejut.

"Err...Raudhah, ini kawan kami, Hadi. Hadi, ini Raudhah.” Sabridah ’memperkenalkan’ mereka berdua. Dia buat tak tahu dengan kata-kata Raudhah. Suaminya Aaron beransur ke dapur setelah menyerahkan Misya pada isterinya.

"Dah balik rupanya kamu Di?” Tegur makcik Maimun yang baru keluar dari dapur.

"Baru je sampai mak.” Jawab Hadi. Dia masih kebingungan.

"Mak?” Raudhah memandang Hadi dan makcik Maimun silih berganti. Sabridah hanya tersenyum melihat mereka berdua.

"Inilah anak makcik, Hadi.” Kata-kata makcik Maimun membuatkan Raudhah kecut perut. Dia kelu tak terkata. Hadi juga begitu.

"Ehem..ehem.” Kedengaran suara Aaron yang baru keuar dari ruang dapur. Di tangannya terdapat sebiji kek. Semua mata memandang ke arahnya. Serentak itu kedengaran nyanyian selamat hari jadi yang dinyanyikan oleh Aaron, Sabridah dan Makcik Maimun. Raudhah kaget. Begitu juga Hadi, namun dia turut menyanyi setelah mendapat isyarat dari Sabridah. Hadi mula faham situasi tersebut dan hanya mampu menahan ketawa. Ketawa dalam gemuruh sebenarnya.

"Selamat hari jadi Raudhah.” Ucap Sabridah sambil memeluk Raudhah. Raudhah yang masih terpinga-pinga membalasnya.

"Selamat nak.” Giliran makcik Maimun pula mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran pada Raudhah. Tubuh gadis itu turut dipeluk. Raudhah membalas dengan rasa terharu walaupun masih tidak mengerti akan situasi yang berlaku.

"Terima kasih semua. Tapi macam mana...” Belum sempat Raudhah menghabiskan ayatnya, kedengaran satu suara di belakangnya mengucapkan selamat hari jadi.

"Selamat hari jadi awak.” Ucap Hadi. Dia sudah mengetahui situasi yang berlaku dan rancangan Sabridah dan Aaron bila diterangkan secara ringkas sebentar tadi oleh Sabridah. Dia gugup namun berterima kasih dengan idea kawan-kawannya. Tidak sangka juga emaknya turut bersubahat ’mengenakannya’.

"Terima kasih.” Jawab Raudhah malu-malu.

"Apa tunggu lagi, jom potong kek. Raudhah, kami minta maaf sebab buat kejutan ni. Nanti aku cerita ye. Sekarang kau potong kek dulu sebab kami semua dah kebulur ni.” Ajak Sabridah sambil ketawa. Yang lain juga ikut ketawa. Raudhah yang mula mengerti rancangan kawan-kawannya turut ketawa. Cuma dia masih terkejut dengan kemunculan Hadi yang tidak di sangka dan tidak menyangka Hadi adalah kawan mereka juga.

"Okey, sebelum itu, kawan kita Hadi ada nak cakap sesuatu kan?” Kata Aaron sambil menyiku kawannya Hadi. Hadi yang tidak tahu apa-apa, terkejut dan memandang Aaron sambil membuat isyarat ’nak cakap apa?’

Aaron yang menahan ketawa, membisikkan sesuatu pada telinga Hadi. Seraya muka kawannya itu merah padam. Hadi gugup. Namun dia bersetuju dengan cadangan Aaron. Ini sahaja peluang terbaiknya.

"Err...assalamualaikum semua, saya Hadi.” Hadi memulakan ucapannya. Dia gugup dan tidak sengaja ayat tersebut keluar dari mulutnya. Semua yang mendengar ketawa.

"Terima kasih kepada Aaron kerana menjemput saya ke majlis istimewa ini. Selamat hari lahir sekali lagi pada cik Raudhah. Semoga pertambahan umur ini membawa keberkatan dan kebahagiaan pada awak. Terlebih dahulu saya minta maaf jika perlakuan saya sebelum ini merimaskan awak dan buat awak tak suka.” Ucap Hadi sambil memandang Raudhah.

"Terima kasih, saya tak ambil hati pun.” jawab Raudhah. Dia sedikit malu bila semua mata memandangnya sambil tersenyum.

"Err...macamana nak cakap ye? Okeylah, Cik Raudhah, saya Muhammad Hadi Haslam dan belum berkahwin. Bersaksikan mak saya dan kawan-kawan ingin melamar awak menjadi kawan saya dan seterusnya peneman saya hingga akhir hayat saya. Cik Raudhah sudi tak?” Gugup Hadi mengucapkan ayat itu. Namun dia merasa lega kerana hasrat hati yang lama terpendam  berjaya diluahkan.

Semua yang ada memandang Raudhah sambil menantikan jawapan gadis itu. Mereka mengharapkan jawapan positif keluar dari mulut Raudhah. Raudhah yang terkejut mendengar lamaran tersebut kelu untuk menjawab. Matanya memandang makcik Maimun yang tersenyum ke arahnya. Raudhah terharu dan kagum atas keberanian Hadi.
Selepas menarik nafas panjang, Raudhah sedia untuk memberikan jawapan selepas semua yang ada seakan tidak sabar menantikannya.

"Saya...”  Raudhah malu untuk menjawab ’setuju’ dan hanya tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Semua yang mendengar turut lega. Lebih-lebih lagi Hadi.

"Ayah pun setuju.” Tiba-tiba kedengaran suara dari arah muka pintu. Raudhah berpaling dan terkejut akan kedatangan ayahnya. Hari jadinya tahun ini memang sesuatu yang sangat mengejutkannya dan paling indah di rasakan. Ayahnya tersenyum memandang anak anak gadisnya. Raudhah tersipu-sipu.
Makcik Maimun yang turut gembira menghampiri Raudhah lalu memeluk bakal menantunya itu. Di hujung mata Raudhah, dia sempat melihat Hadi menyalami dan berpelukan dengan ayahnya.

Dalam hati Raudhah, dia bersyukur dengan kurniaan ini. Begitu juga Hadi. Mereka berbalas pandangan sambil tersenyum-senyum malu. Perbuatan mereka disedari Sabridah, Aaron, makcik Maimun dan ayah Raudhah. Sepanjang malam itu, Raudhah dan Hadi menjadi bahan usikan mereka semua. Akhirnya dua hati berjaya di satukan. Semoga kebahagiaan milik mereka berkekalan.

TAMAT



p/s: maaf sebab ambil masa yang lama untuk habiskan cerita ni...hehe




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...