Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Sunday 22 April 2012

Dan Akhirnya Biola Itu Berlagu... #2

Episod #1
Roti bakar yang sudahpun siap disapu dengan mentega diletakkan di atas meja. Balqis menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya, perlahan dan penuh sopan mencirikan keanggunan seorang wanita. Matanya melirik kepada Yusuf yang baru sahaja menuruni anak tangga dan menghampirinya perlahan.
            “Assalamualaikum, bu... selamat pagi!”
            Dahinya dicium lembut. Satu-satunya zuriatnya itu berkalih mengambil tempat di sebelahnya. Salam kesejahteraan itu dijawab Balqis seadanya. Diperhatikan Yusuf yang sedang mengunyah lazat roti bakar kegemarannya itu.
            “Yusuf selesa tinggal di sini?”
            Anak muda yang mirip sekali wajah ayahnya itu mengangkat muka. Merenung ibunya lembut. Yusuf menganggukkan kepala sambil mengukir senyum manis. Soalan ibunya melontar dia kepada ingatan alunan biola yang enak dinikmatinya saban malam.
            “Bu, malam-malam ibu ada dengar apa-apa tak?”
            Balqis mengerutkan dahi. Tanda hairan dengan soalan yang diajukan Yusuf.
            “Dengar apa. Yusuf? Ibu tak dengar apa-apa pun...”
            Yusuf hanya terdiam dan seterusnya mengukir senyum kepada Balqis.
            “Tak ada apa-apalah, bu! Ibu, Yusuf naik atas dulu...”
            Yusuf meneguk kopi pahitnya sehingga tidak bersisa lalu kemudiannya cawan diletakkan kembali di atas piring. Yusuf bangun dan memeluk bahu ibunya sesaat sebelum berlalu ke tingkat atas.
            Balqis menghantar Yusuf ke arah tangga menuju ke tingkat atas dengan ekor matanya. Dia menghela nafas panjang. Yusuf, anaknya itu sekali imbas jika dipandang, saling tidak tumpah seperti Sulaiman. Balqis tersenyum pahit.
Ingatan kepada Sulaiman, arwah suaminya yang hujung bulan ini, genab 19 tahun telah meninggalkan dunia akibat peristiwa hitam yang meragut kebahagiaannya itu mengusik hati.
            Balqis meninggalkan meja makan dan membawa diri ke beranda. Semilir laut yang mesra menyapa tubuhnya dinikmati perlahan. Entah kenapa dia berkeputusan untuk kembali ke banglo ini selepas 19 tahun. Entah apa yang membuat dia kembali selepas bertekad untuk tidak lagi menjejakkan kaki ke bumi Terengganu ini 19 tahun yang lalu. Balqis berpeluk tubuh. Entah kerana dingin atau entah kerana hangat.
            Kerana Yusuf! Ya, kerana satu-satu zuriatnya itu... kerana Yusuflah dia kembali memijak tanah berdarah ini. Balqis menelan liur. Pahit. Wajah Sulaiman hadir dalam ingatannya saat itu. Di beranda itulah tempatnya Sulaiman selalu memeluknya dengan erat sehinggalah keindahan rona bayang senja yang menyelimuti dada langit menghilang dan digantikan dengan gelap malam. Cinta serasa mekar berpayungkan cahaya perak sang ratu. Kenangan semakin mengulit. Balqis hilang.
            “Qis...”
            Balqis menyandarkan kepalanya pada dada Sulaiman yang sedang erat memeluk tubuhnya. Matahari kala itu sudah kelihatan segan benar untuk terus berada di langit barat. Warna jingga yang kasar dan terang semakin galak membaluti hampir keseluruhan tubuh langit. Suasana indah yang sedang dinikmatinya itu terasa begitu bermakna dengan kehangatan pelukan si suami yang terlalu amat dikasihi. Sulaiman mengusap perutnya yang sudah mulai membesar. Zuriat yang terhasil dari perkongsian rasa cinta yang terlalu agung antara dia dan suaminya.
            “Aku risaukan kau, Qis...”
            Balqis merasa terganggu. Keindahan ciptaan Allah yang Maha Agung tidak lagi menjadi tumpuannya. Balqis berpaling menatap wajah suaminya.
            “Kandungan kau sudah masuk empat bulan. Wang simpanan kita tak banyak. Apa akal aku, Balqis?”
            “Man, kenapa bicara begini? Bukankah anak ini rezeki buat kita. Kita terima kehadiran dia dengan seadanya. Balqis sudah mula menyediakan kelengkapan bayi sedikit-sedikit dan...”
            “Pendapatan aku tak banyak, Balqis. Orang-orang di sini tidak begitu gemarkan ahli muzik. Kalau ada, sekadar undangan di majlis perkahwinan. Susah aku hendak mencari makan di sini...”
            Balqis mula merasa tidak enak. Kata-kata Sulaiman sepertinya mengandungi hasrat yang tersirat.
            “Terus-teranglah pada Balqis, Man... ada apa sebenarnya?”
            “Aku mahu pulang ke Singapura, Balqis!”
            Balqis tersentak. Kata-kata Sulaiman menyentak nyalinya kala itu. Ada setitis mutiara jernih gugur sekaligus membasahi pipinya.
            “Ibu... kenapa ni, bu? Kenapa menangis...?”
            Balqis berpaling. Kenangan lalu yang menerpa lantas dibawa semilir entah ke mana. Dengan pantas tangannya menyapu air mata yang menghiasi pipi. Dia melontarkan senyum kepada Yusuf. Yusuf perlahan menghampiri dan memeluk bahunya.
            “Kenapa ni, bu?”
            Anak ini terlalu perasa. Demikian bisik hati Balqis. Dia tersenyum lagi.
            “Tak ada apa-apa, Yusuf. Angin terlalu kuat. Mata ibu terasa pedih.”
            Yusuf terdiam. Masakan tangisan si ibu yang dilihatnya sebentar tadi sekadar disebabkan sang pawana. Dia yakin yang ibunya sedang menyembunyikan sesuatu. Sejak berpindah ke banglo itu, Balqis dilihatnya berlainan benar. Setiap hari termenung di beranda dan ada kalanya menangis sendiri. Sudah beberapa kali dia melihat ibunya menangis tetapi baru hari ini dia tergerak hati untuk menyapa.
            “Ibu, jangan bersembunyi dengan Yusuf. Sudah banyak kali Yusuf tengok ibu menangis di sini. Kenapa berahsia dengan Yusuf, bu?”
            Balqis terdiam. Dia masih belum bersedia untuk berkongsi rasa dengan anaknya itu. Dia seperti mahu memadamkan sejarah masa lalu tetapi entah kenapa dia membawa Yusuf berpindah ke situ, banglo kecil yang menjadi mahligai cinta dia bersama Sulaiman. Seperti ada sesuatu yang melambai-lambai memanggil dan menggamit dia pulang ke negeri “Ulek Mayang” itu.
            “Ibu tak apa-apa, Yusuf... tak usah risau. Ibu cuma teringatkan ayah Yusuf.”
            Giliran Yusuf terdiam. Dia seperti hampir membuka mulut untuk bertanya tentang bunyi biola yang didengarinya saban malam. Tetapi, entah kenapa dia merasakan masanya belum tiba untuk dia bertanya. Yusuf terus mengeratkan pelukannya pada Balqis.
            “Yusuf, mari kita ke pusara ayah Yusuf...” 
bersambung...

1 comment

sambungan minggu ini, cepatlah hari ahad.

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...